BETONG: Kerajaan Sarawak bersedia mempercepat pembangunan semula kawasan bekas Rajang Area Security Command (RASCOM) menerusi pelan komprehensif di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Rajang Tengah (MiRRDA), selepas persetujuan pemulangan tanah Persekutuan yang tidak dibangunkan kepada negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan berkenaan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan semula sebagai kawasan pertumbuhan baharu dengan peruntukan awal sebanyak RM1.5 bilion telah disediakan.
Beliau berkata, pembangunan semula itu akan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu asas yang sekian lama dihadapi penduduk termasuk kepadatan rumah panjang, kemudahan jalan raya serta pembangunan sektor pertanian.
“Memang kita ada perancangan kerana kawasan RASCOM berada di bawah MiRRDA. Kita mahu membangunkan semula kawasan itu dengan peruntukan awal RM1.5 bilion,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong 2026 di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, kepadatan penempatan rumah panjang di kawasan terbabit memerlukan perancangan semula agar kemudahan asas dan jaringan perhubungan dapat dipertingkatkan selaras dengan keperluan penduduk.
“Rumah panjang di sana terlalu padat. Apabila padat, jalan juga tidak begitu baik. Kita sudah membina jalan raya dan mempunyai pelan tempatan (local plan) untuk kawasan itu. Dari sudut industri pertanian juga terdapat potensi untuk dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata, pelan pembangunan tersebut telah dirangka oleh jawatankuasa MiRRDA yang dipengerusikan Datuk Seri Aaron Ago Dagang, dengan penyelarasan pelaksanaan oleh bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, persetujuan pemulangan tanah Persekutuan berkenaan dicapai menerusi perbincangan antara kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah agenda penurunan kuasa berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, mana-mana tanah milik Persekutuan yang tidak dibangunkan dalam tempoh lima tahun akan dikembalikan kepada kerajaan negeri, kecuali terdapat perancangan pembangunan yang jelas.
“Kita sudah mendapat persetujuan melalui perbincangan kita. Mana-mana tanah Persekutuan yang tidak dibangunkan dalam tempoh lima tahun, melainkan mereka mempunyai perancangan konkrit, hendaklah dikembalikan kepada negeri,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga telah menyediakan pelan tempatan bagi memastikan kawasan MiRRDA dapat dibangunkan secara tersusun selepas proses penyerahan selesai.
Kawasan bekas RASCOM itu melibatkan beberapa lokasi strategik di Sibu iaitu Nanga Tada, Nanga Jagau, Nanga Ngungun dan Nanga Sekuau dengan keluasan keseluruhan 3,655.60 hektar.
Pemulangan kawasan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pelaksanaan MA63, dengan kerajaan Sarawak akan membayar semula kos pengambilan tanah terdahulu serta tunggakan cukai tanah berjumlah RM9.98 juta kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di Sarawak.
Oleh Afiq Sallehi





