Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • RM1.4 bilion untuk usaha tanam semula sawit  – Johari
  • BISNES

RM1.4 bilion untuk usaha tanam semula sawit  – Johari

Utusan Sarawak 2 days ago

MENTERI Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM1.4 bilion di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) yang dipohon Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi tempoh lima tahun, disasarkan bagi meliputi keluasan tanaman semula sawit sebanyak 82,979 hektar.

Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata peruntukan itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang KPK bagi memastikan industri sawit negara kekal mampan, kompetitif dan mampu memberi pulangan optimum khususnya kepada pekebun kecil persendirian.

Katanya, meskipun kerajaan memperuntukkan RM100 juta setiap tahun bagi pelaksanaan TSPKS 2.0, jumlah itu yang disalurkan kepada pekebun kecil bagi mencapai sasaran 5,900 hektar masih belum mencukupi.

“Sehubungan itu, pihak kementerian akan cuba membentangkan permintaan bagi peruntukan ini yang lebih besar untuk kita agihkan kepada seluruh pekebun-pekebun kecil yang dianggarkan RM280 juta setahun.

“Kita masih belum mendapat kelulusan lagi dan kita akan buat permintaan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata kos penanaman semula sawit pada masa ini tinggi iaitu sekitar RM18,000 hingga RM20,000 setiap hektar.

“Walaupun RM1.4 billion sepanjang lima tahun hanya mampu menyokong sebahagian daripada keperluan penanaman semula sawit oleh pekebun kecil persendirian, ia merupakan langkah permulaan yang penting bagi memperkukuh sokongan berterusan kepada pekebun kecil persendirian yang mewakili 14.6 peratus daripada jumlah keluasan tanaman sawit di Malaysia,” tambahnya.

Kadar penanaman semula yang rendah menyebabkan peningkatan keluasan pokok sawit tua dan menyekat pertumbuhan produktiviti hasil buah tandan segar (BTS) negara.

 Purata kadar tanam semula sawit hanya dua peratus bagi tempoh 2014 hingga 2024 iaitu jauh daripada kadar penanaman semula sawit yang disasarkan iaitu empat peratus setahun serta peningkatan keluasan pokok sawit tua yang berumur melebihi 25 tahun iaitu daripada 5.6 peratus (302,004 hektar) pada 2014 kepada 9.3 peratus (520,067 hektar) pada Disember 2024.  

Sementara itu, beliau berkata bagi mencapai sasaran tanam semula sawit pada kadar ideal empat peratus setahun, KPK sentiasa menyokong syarikat perladangan, pengusaha dan pemilik kebun sawit untuk melaksanakan program tanam semula sawit bagi memastikan pokok sawit tua dan tidak produktif ditebang dan ditanam semula dengan bahan tanaman yang berkualiti tinggi.

Berkenaan cadangan menggunakan Cukai Keuntungan Luar Biasa dan Elaun Pelaburan Semula bagi meningkatkan usaha penanaman semula sawit, Johari berkata ia di bawah kawal seliaan Kementerian Kewangan (MOF).

KPK mengemukakan cadangan ini kepada MOF semasa Sesi Belanjawan 2025 dan masih dalam penelitian mereka, katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Untung bersih suku kedua Bintulu Port susut kepada RM34.73 juta
Next: PayNet, Ant International perkukuh kerjasama perluas pembayaran QR global

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.