BEKENU: Jabatan Perikanan Malaysia telah diluluskan peruntukan sebanyak RM1.17 juta bagi melaksanakan projek Pakej Rangsangan Ekonomi 1.0 (PRE 1.0) di seluruh di bawah program mykomuniti Perikanan (myKP) seluruh negara yang meliputi projek bantuan perkakas dan peralatan peranti pengumpulan ikan (unjam atau tukun) serta projek bantuan kabin pusat tranformasi nelayan (FTC) myKP.
Pengarah Perikanan Laut Sarawak, Bohari Leng berkata demikian pada Program Melabuh Unjam mykomuniti Perikanan (myKP) Negeri Sarawak Dewan Kampung Kuala Sibuti, semalam.
Katanya, pecahan dan jumlah kelulusan mengikut projek adalah Projek Bantuan Perkakas Dan Peralatan Peranti Pengumpulan Ikan (unjam/tukun) myKp berjumlah RM260,000 kepada 13 myKP masing-masing RM20,000.
Kedua, Projek Bantuan Kabin Fisheries Transformation Center (FTC) myKP berjumlah RM910,000 kepada 13 myKP yang masing-masing RM70,000.
Tambahnya, kaedah bantuan yang disalurkan adalah melalui konsep penyaluran bantuan khidmat sokongan pengembangan secara berfokus, bersasar dan memberikan kesan berganda melalui bantuan berkelompok myKomuniti Perikanan (mykP).
“Sebanyak 13 myKP telah dipilih untuk menerima manfaat daripada Projek Bantuan Perkakas Dan Peralatan Peranti Pengumpulan Ikan (Unjam) myKP di seluruh negara dan 13 myKP bagi Projek Bantuan Kabin Fisheries Transformation Center (FTC) myKP.
“Bagi Sarawak melalui Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), sebanyak dua myKP dipilih untuk menerima Projek Bantuan Perkakas Dan Peralatan Peranti Pengumpulan Ikan (Unjam) iaitu myKP Kuala Sibuti serta myKP Sebuyau,” jelasnya.
Manakala satu myKP di bawah Sarawak akan menerima manfaat daripada Projek Bantuan Kabin Fisheries Transformation Center (FTC) myKP iaitu myKP Sampadi, Lundu.
Kerajaan telah mengambil langkah proaktif menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) bagi mendepani kesan COVID-19 untuk memperkukuhkan semula pertumbuhan ekonomi negara, katanya lagi.
“Pakej rangsangan ini mempunyai tiga strategi utama iaitu pertama, menangani impak COVID-19, kedua, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat, dan ketiga bagi menggalakkan pelaburan berkualiti.
“Melalui langkah ini, Kerajaan yakin perniagaan yang terjejas akan dapat meneruskan operasi, aktiviti ekonomi domesti akan semakin rancak dan seterusnya mengekalkan pekerjaan dalam sektor yang berkaitan,” jelasnya lagi.
Justeru, pada hari ini (semalam) telah diadakan perasmian penubuhan myKomuniti Perikanan (myKP) Kuala Sibuti dengan objektif untuk menambah dan mempelbagaikan sumber ekonomi nelayan, pengurusan sumber perikanan berasaskan komuniti, pemuliharaan sumber alam sekitar dan berperanan sebagai mata dan telinga jabatan.
Oleh Adum Liu