
SIBU: Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima hari ini mencatat sejarah apabila diiktiraf Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai rizab hutan paya gambut bandar terlindung terbesar di Malaysia.
Sijil pengiktirafan itu diserahkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu yang berlangsung di Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima seluas 219 hektar itu, pagi tadi.
Sebagai simbol komitmen terhadap pemuliharaan hidupan liar, Abang Johari turut menyaksikan pelepasan seekor tenggiling ke habitat semula jadinya di kawasan berkenaan.
Terdahulu, Abang Johari memulakan hari kedua program SKS dengan menyertai aktiviti berjalan pantas bersama orang awam di sini.

Beliau turut meluangkan masa melawat beberapa projek di dalam rizab tersebut yang merupakan sebahagian usaha kerajaan memperkukuh pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.
Sebagai tanda sokongan kepada usaha penghijauan, beliau turut menyertai aktiviti penanaman anak pokok disaksikan para tetamu serta wakil agensi terlibat.
Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima merupakan satu-satunya rizab hutan paya gambut bandar di Sarawak yang diwartakan sebagai kawasan perlindungan.
Ia menjadi habitat penting kepada pelbagai spesies flora dan fauna serta berpotensi dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan dan pendidikan alam sekitar.
Program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memelihara khazanah alam semula jadi di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar.
Oleh Tarani Lanting