MIRI: Bazar Ramadan bukan sekadar medan jual beli makanan berbuka puasa, tetapi menjadi platform terbaik bagi golongan muda untuk memulakan perniagaan dengan risiko rendah, dan modal kecil.
Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata bazar Ramadan menawarkan peluang berniaga yang mudah diakses, menjadikannya tempat sesuai bagi anak muda untuk mencuba, mengasah kemahiran keusahawanan serta memahami kehendak pasaran.
“Setiap tahun, bazar Ramadan bukan sahaja memberi peluang kepada peniaga mencari rezeki tetapi juga tempat bagi anak muda belajar berniaga dan meneroka permintaan pasaran,” katanya ketika melawat bazar Ramadan di Stadium Tertutup Miri, semalam.
Menurutnya, ramai usahawan berjaya bermula dengan perniagaan kecil-kecilan di bazar Ramadan sebelum mengembangkan jenama mereka ke peringkat lebih besar.
“Kunci kejayaan adalah keberanian untuk mencuba serta kesungguhan untuk terus belajar dan berkembang.
“Bazar ini menjadi tempat latihan terbaik untuk anak muda mempelajari cara menarik pelanggan, mengurus kos perniagaan, serta menguji produk mereka dalam pasaran sebenar,” jelasnya.
SebastianTing turut menggalakkan peniaga muda memanfaatkan media sosial bagi meningkatkan kesedaran jenama dan menarik lebih ramai pelanggan.
Selain menyantuni peniaga, Sebastian Ting turut mengedarkan apron kepada peniaga dan pengunjung bazar sebagai tanda sokongan terhadap perniagaan tempatan.
Sementara itu, Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siaw Sang, berkata bazar Ramadan bukan sahaja merancakkan ekonomi tempatan tetapi juga menjadi platform perpaduan yang menggalakkan interaksi antara masyarakat berbilang kaum di Miri.
“Para peniaga di bazar ini bekerja keras menyediakan pelbagai juadah kepada orang ramai.
“Pada masa sama, bazar ini berfungsi sebagai tempat komuniti untuk berinteraksi dan menikmati kepelbagaian makanan serta budaya,” katanya.
Oleh Adum Liu