KUCHING: Sebanyak 38,000 hektar kebun getah matang di Sarawak dikenal pasti tidak ditoreh dan terbiar, dengan RISDA menawarkan bantuan kepada pemilik yang mahu mengusahakan semula kebun berkenaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kesemua kawasan berkenaan merupakan milik pekebun kecil dan RISDA kini sedang mengenal pasti pemiliknya.
“Pemilik yang mahu mengusahakan sendiri kebun berkenaan boleh mendapatkan bantuan melalui program yang disediakan RISDA, manakala RISDA Plantation boleh mengusahakannya bagi pihak pemilik yang tidak mahu mengusahakannya sendiri.

“Kalau dia tak nak usaha, RISDA Plantation akan usaha sebab kita tak nak membazirkan ladang-ladang yang dah ada tapi tak bertoreh kerana tujuan utama kita adalah untuk meningkatkan pengeluaran getah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Sarawak Tahun 2026 di sini, hari ini.
Tambah beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan pokok getah yang sudah matang terus mengeluarkan hasil dan tidak dibiarkan begitu sahaja.
“RISDA sedang berusaha mengenal pasti pemilik kebun terbabit sebelum rundingan dibuat bagi menentukan kaedah pengusahaan yang sesuai,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rubiah berkata, Sarawak mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pengeluaran getah berdasarkan kawasan tanaman sedia ada sekitar 161,000 hektar.
“Masih terdapat kawasan yang sesuai untuk tanaman getah di Sarawak tetapi belum diusahakan, sekali gus membuka ruang untuk meningkatkan pengeluaran komoditi berkenaan.
“Usaha meningkatkan pengeluaran getah itu penting bagi membantu negara mencapai sasaran satu juta tan metrik menjelang 2030,” tambahnya.
Menurutnya, sasaran berkenaan memerlukan peningkatan produktiviti pekebun kecil melalui amalan pertanian baik, teknologi moden serta kaedah penorehan yang lebih berkesan.
Rubiah berkata, pekebun kecil menyumbang 89.4 peratus daripada pengeluaran getah asli negara berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan pada Mei 2026.
Untuk rekod, inisiatif Pembeli Getah Utama atau Anchor Buyer yang dilaksanakan RISDA melalui RISDA Plantation Sdn Bhd merekodkan pembelian 183 tan metrik hasil getah pekebun kecil di Sarawak setakat penghujung Julai lalu, dengan Betong mencatat pembelian tertinggi sebanyak 66.22 tan metrik, diikuti Samarahan 61.10 tan metrik dan Sibu 31.96 tan metrik.
Sementara itu, Sarawak mencatatkan 1,116.78 hektar kawasan tanam semula getah tahun ini, sekali gus menjadi penyumbang terbesar dengan 28 peratus daripada keseluruhan pelaksanaan Program Tanam Semula RISDA 2026.
Oleh Masrin Affirah





