RISDA Plantation tawar khidmat pengurusan kebun getah terbiar

Facebook
WhatsApp
KONVENSYEN… Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Sarawak yang berlangsung esok dan lusa dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Wisma Elica, Voco Kuching, membuka peluang kepada pekebun kecil mendapatkan maklumat serta mendaftar bagi khidmat pengurusan kebun getah yang ditawarkan RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB). Foto RPSB

KUCHING: Pemilik kebun getah yang terbiar atau tidak lagi diusahakan berpeluang mendapatkan khidmat pengurusan menerusi RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) dalam usaha mengembalikan produktiviti serta menjana pendapatan daripada tanah pertanian.

RPSB menawarkan diri sebagai rakan pengurusan kebun kepada pekebun kecil yang berdepan kekangan untuk mengurus dan mengusahakan kebun getah masing-masing.

Inisiatif berkenaan  memberi peluang kepada pemilik kebun untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kaedah pengurusan serta, pendaftaran bagi mendapatkan khidmat yang ditawarkan.

Orang ramai, khususnya pekebun kecil di Sarawak, dijemput mengunjungi Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Sarawak yang berlangsung esok dan lusa.

Konvensyen itu  diadakan dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Wisma Elica, Voco Kuching.

Menurut bahan hebahan RPSB, kebun getah yang dibiarkan tanpa pengurusan berpotensi terbiar, sedangkan kebun yang diusahakan dengan baik mampu memberikan pulangan kepada pemilik.

Sehubungan itu, pekebun kecil yang berminat boleh mendapatkan penerangan lanjut serta membuat pendaftaran di lokasi konvensyen sepanjang tempoh program berlangsung.

Langkah berkenaan diharap dapat membuka peluang kepada lebih ramai pemilik kebun getah di Sarawak untuk mengoptimumkan tanah mereka supaya kembali produktif dan berpotensi menjadi sumber pendapatan.

Oleh Adi Safarman