MAKLUMAT, PENGALAMAN… Nur Qisya Christina Layang bergambar bersama pegawai RISDA yang melawat tempat pameran dan melihat produk hasil penyulingan gaharu beliau pada Karnival Usahawan Desa (KUD) di Limbang pada hujung minggu lalu.
KUCHING: Pelbagai bantuan yang disalurkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), memberi ‘sinar’ buat usahawan terutama dari luar bandar untuk menempa kejayaan dalam perniagaan atau bidang masing-masing.
Walaupun hanya dengan status pekebun kecil pada mulanya, ramai antara usahawan terbabit kini sudah mampu tersenyum lebar dan bangga dengan hasil titik peluh serta penat jerih mereka selama ini.
“Saya amat berterima kasih kepada piha RISDA yang tampil membantu kami pekebun kecil hendak memulakan perniagaan.
“Tanpa bantuan RISDA bukan mudah untuk usahawan seperti saya bangun sendiri, malah dengan bantuan RISDA sebanyak RM20,000…saya dan suami dapat membeli pelbagai barangan atau mesin untuk menghasilkan minyak pati serai, minyak pati gaharu dan minyak pati bunga,” kata Nur Qisya Christina Layang.
Menurut Nur Qisya, beliau menubuhkan syarikat Gaharu Sarawak Berjaya, telah mula berjinak-jinak dalam produk hasil daripada kayu gaharu pada 2010 dan kemudiannya telah mendaftar syarikat beliau dengan pihak berkuasa pada 2012.
Namun menurut beliau, ketika itu pendapatannya hanya sekitar RM500 hingga RM1,000 sebulan dan terjejas teruk ketika pandemik Covid-19 melanda.
“Bukan itu sahaja jika dikumpul atau digabungkan semua semasa pandemik Covid-19, saya serta pembekal gaharu dan sebagainya kerugian sekitar RM200,000,” katanya.
Namun setelah pandemik Covid-19 mula reda dan negara beralih ke fasa endemik, Nur Qisya memberitahu, perniagaannya bangkit dengan begitu cepat sekali.
“Malah kini saya bangga dengan pendapatan kasar sekitar RM30,000 sebulan hasil daripada penyulingan gaharu dan beberapa produk lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak di sini, semalam.
Ditanya, apakah harapan beliau pada masa depan, Nur Qisya memberitahu dia dan suami mahu mengembangkan lagi perniagaannya dan menubuhkan cawangan atau membuat kilang di Miri, Limbang dan bandar besar yang lain di seluruh negeri ini.
Bila ditanya dimana beliau mendapatkan bekalan kayu gaharu?. Nur Qisya menjelaskan; “Sebenarnya ramai pekebun kecil gaharu di sekitar Limbang dan Lawas. Mereka tanam gaharu dulu ketika orang beritahu gaharu amat bagus untuk ditanam dan hasilnya amat lumayan.
“Namun selepas itu, bila gaharu mereka sudah besar, mereka tiada tempat untuk menjualnya.
“Sebab itu, jika saya mendapat bantuan untuk memperbesarkan lagi perniagaan saya ini dan dapat membuat kilang serta cawangan .. saya yakin ini dapat membantu pekebun kecil gaharu ini menjadi tempat untuk mereka menjual gaharu mereka,” ujarnya.
TEMPA KEJAYAAN MENERUSI BANTUAN RISDA
Sementara itu seorang lagi usahawan desa yang sempat dihubungi setelah menyertai Karnival Usahawan Desa (KUD) di Limbang pada hujung minggu lalu, Hellena Anak Lambang memberitahu, beliau amat berterima kasih kepada RISDA kerana bukan sahaja membantu dari sudut kewangan untuk membeli barangan, malah agensi kerajaan itu juga turut membantu memasarkan hasil kraftangan yang beliau serta perkumpulannya hasilkan.
“Saya menerima bantuan sebanyak RM10,000 daripada RISDA. Saya senaraikan barangan dan mereka akan beli barangan menggunakan wang daripada bantuan terbabit.
“RISDA beli mesin jahit, almari dan ada beberapa lagi barangan lain, semua itu amat membantu terutamanya bagi kami pekebun kecil,” katanya sambil memberitahu turut menanam sekitar 1,000 pokok getah namun ketika ini tidak terurus.
Hellena yang menghasilkan kraftangan seperti bakul, bantal dan banyak lagi yang lain di rumah panjang mereka di Kampung Terimah Lubai memberitahu, beliau serta perkumpulannya amat bersemangat untuk memajukan diri, bagaimanapun bantuan kerajaan terutama RISDA amat mereka harapkan.
“Kita berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang telah menganjurkan KUD, hampir semua barangan kraftangan kami habis dijual ketika itu. Malah kami juga dapat rantaian rakan-rakan yang turut boleh membantu memasarkan produk kraftangan kami,” katanya.
Dengan hasil jualan lebih RM1,000 ketika KUD di Limbang, Hellen memberitahu kini beliau fokus kepada menjual hasil kraftangan bantal dan ‘pua tamping seribu’ menerusi laman sosial, Facebook kerana ia antara cara terbaik untuk memasarkan produk kraftangan beliau.
BANTUAN RISDA TERUS DIHARAPKAN
Harun Bakeri dari Taman Sri Patiambun, Limbang yang juga menyertai KUD dan pernah menerima bantuan RISDA sebanyak RM10,000 juga turut menzahirkan rasa berterima kasih kepada RISDA, kerana tanpa bantuan RISDA sukar untuk beliau maju ke depan terutamanya kesan daripada himpitan pandemik Covid-19.
Harun yang menubuhkan syarikat, Harun Bakeri & Famili dan menghasilkan produk makanan sejuk beku seperti roti canai dan karipap, pihak RISDA yang telah membantu membeli peti sejuk, meja, dapur dan beberapa barangan lain telah memudahkan dan memperbesarkan lagi perniagaannya.
Beliau yang memulakan perniagaannya pada 2018 setelah berhenti daripada ke luar negara yang telah diceburinya selama 17 tahun, memberitahu sebelum mendapat bantuan daripada RISDA pendapatan bulanannya hanya sekitar RM1,000 hingga RM3,000 sebulan.
“Namun kini pendapatan saya telah meningkat sehingga sekitar RM5,000 sebulan. Malah ketika KUD yang lalu pendapatan saya yang kebiasaannya sekitar RM100 hingga RM200 sehari meningkat lebih empat kali ganda…sehingga tak menang tangan.
“Sebab itulah saya amat berterima kasih kepada RISDA dan saya berharap produk saya ini akan menembusi pasaran Miri dan Lawas. Ketika ini saya hanya buat di rumah sahaja, dan saya berharap untuk memperbesarkan pasaran … dengan ketika ini produk saya sudah menembusi pasaran Brunei sikit,” katanya dalam nada bangga ketika dihubungi , semalam.