
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan peningkatan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang lain pada pembukaan Khamis, disokong oleh harga minyak yang stabil susulan keputusan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) untuk mengeluarkan bekalan tambahan ke pasaran, kata seorang ahli ekonomi.
Pada 8.00 pagi, mata wang tempatan itu meningkat kepada 3.9130/9350 berbanding dolar AS 3.9175/9230 ketika ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak kekal menjadi tumpuan utama pasaran selepas 32 negara anggota IEA bersetuju untuk mengeluarkan 400 juta tong daripada simpanan petroleum strategik.
AS juga mengikuti langkah itu, mengumumkan pengeluaran 172 juta tong minyak ke dalam pasaran domestik.
“Keputusan sedemikian bertujuan untuk menstabilkan harga minyak terutamanya di peringkat runcit.
“Jelas sekali, peperangan dengan Iran (peperangan antara AS-Israel ke atas Iran) telah memberi kesan kepada harga minyak runcit kerana peningkatan kos boleh menjejaskan kuasa beli pengguna,” katanya kepada Bernama.
Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent naik 7.55 peratus kepada AS$98.92 setong, manakala harga gas asli New York Mercantile Exchange (NYMEX) melonjak 1.25 peratus kepada AS$3.25 sejuta unit termal British.
“Para pemimpin di seluruh dunia tertumpu kepada isu tekanan harga global dan sedang mengambil langkah untuk memastikan harga runcit bahan api kekal terkawal,” katanya.
Sementara itu, Rizab Persekutuan (Fed) AS nampaknya akan mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat (dijangka menaikkan kadar faedah) apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan bermesyuarat minggu depan.
Dalam persekitaran ketidakpastian, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit akan diniagakan antara RM3.9000 dan RM3.9500 berbanding dolar AS hari ini.
Pada pembukaan, ringgit menokok berbanding yen Jepun kepada 2.4596/4738 daripada 2.4719/4755 ketika ditutup pada Rabu, meningkat berbanding pound British kepada 5.2360/2654 daripada 5.2545/2619 dan menambah berbanding euro kepada 4.5164/5418 daripada 4.5412/5475.
Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.
Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0661/0839 daripada 3.0754/0800 dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.2346/3119 daripada 12.3386/3637.
Dalam pada itu, mata wang tempatan melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 231.7/233.1 daripada 232.0/232.4 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.66 daripada 6.62/6.64 ketika ditutup pada Rabu. – Bernama