
KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meneruskan pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila ditutup lebih tinggi hari ini, dipacu oleh langkah sokongan fiskal terbaharu kerajaan serta sentimen positif pasaran Asia berikutan perjanjian dagangan AS-Jepun.
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2255/2300 berbanding dolar AS, berbanding 4.2300/2370 pada penutupan Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pakej rangsangan fiskal baharu menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, termasuk bantuan tunai sekali bayar RM100 menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, inisiatif tersebut akan membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam separuh kedua tahun ini.
“Ia boleh dianggap sebagai rangsangan mini ketika ketidaktentuan luaran semakin ketara. Langkah proaktif ini memberi isyarat positif kepada ringgit dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit turut mendapat sokongan daripada sentimen serantau selepas Presiden AS, Donald Trump menandatangani perjanjian dagangan besar dengan Jepun semalam, yang melibatkan pengurangan tarif AS ke atas Jepun kepada 15 peratus daripada 25 peratus sebelum ini.
Menurut Innes, perjanjian itu menyemarakkan semula keyakinan pelabur, sekali gus mendorong kenaikan pasaran saham dan mata wang Asia termasuk ringgit.
“Ada spekulasi bahawa jika Jepun boleh mendapatkan syarat lebih longgar, Malaysia juga mungkin berusaha mendapatkan konsesi serupa sebelum tarikh akhir 1 Ogos,” katanya.
Namun begitu, ringgit mencatatkan prestasi bercampur berbanding mata wang utama lain. Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.8837/8870 daripada 2.8690/8739, dan lemah berbanding pound Britain pada 5.7230/7291 berbanding 5.7088/7183.
Ringgit turut jatuh kepada 4.9586/9639 berbanding euro daripada 4.9512/9594.
Ringgit juga menyusut berbanding dolar Singapura pada 3.3071/3109 daripada 3.3011/3071 sebelumnya, dan merosot berbanding baht Thailand kepada 13.1370/1567 daripada 13.0899/1172.
Sementara itu, ia kekal mendatar berbanding rupiah Indonesia pada 259.1/259.5 dan sedikit lemah berbanding peso Filipina kepada 7.42/7.44 berbanding 7.41/7.43. – Bernama.