
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam, didorong oleh perkembangan positif berkaitan gencatan senjata dalam konflik antara Israel dan Iran, menurut ahli ekonomi.
Pada jam 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.2410/2465 berbanding dolar AS, berbanding 4.2915/2980 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata perkembangan itu turut menyebabkan harga minyak mentah Brent susut kepada AS$69.56 setong apabila risiko gangguan terhadap bekalan minyak global dilihat semakin reda.
“Pasaran kewangan menyambut baik perkembangan ini dengan rasa lega, dan minat pelabur terhadap aset berisiko dilihat kembali pulih secara perlahan.
“Namun, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan kerana ketidaktentuan masih wujud, terutama menjelang tamat tempoh penangguhan tarif Amerika Syarikat pada awal Julai,” katanya kepada Bernama.
Bagi pasaran tempatan, beliau berkata bacaan terkini Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia sebanyak 1.2 peratus turut menunjukkan bahawa dasar monetari kekal ketat, dengan kadar faedah sebenar dijangka terus meningkat.
“Secara keseluruhan, sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati dalam jangka masa terdekat, manakala pembuat dasar akan terus berwaspada dalam mengimbangi pertumbuhan dan kestabilan ekonomi,” katanya.
Bagaimanapun, ringgit ditutup bercampur-campur berbanding beberapa mata wang utama dunia.
Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.9256/9296 daripada 2.9028/9074, dan rendah berbanding pound British kepada 5.7707/7782 daripada 5.7437/7524.
Namun, ia meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.9225/9289 berbanding 4.9236/9311 pada Isnin.
Ringgit juga mencatat prestasi lebih baik berbanding mata wang negara ASEAN.
Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 259.3/259.7 daripada 260.2/260.7, dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.41/7.44 daripada 7.44/7.46.
Ringgit turut naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3130/3178 daripada 3.3188/3243 serta mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9793/13.0021 daripada 12.9998/13.0250 sebelumnya. – Bernama.