Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Ringgit dijangka stabil, pelabur pantau langkah kadar faedah AS
  • BISNES

Ringgit dijangka stabil, pelabur pantau langkah kadar faedah AS

Utusan Sarawak 4 weeks ago

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam julat lebih kecil namun cenderung meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan ketika pelabur meneliti aliran dagangan susulan keputusan negara maju itu menurunkan kadar faedah utamanya.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata urus niaga itu juga dijangka menumpukan data-data penting AS, termasuk pengumuman Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan AS pada Selasa ini yang menjadi antara petunjuk makro negara maju berkenaan.

Bagaimanapun, pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2025 AS pada minggu depan akan diikuti rapat bagi mengenal pasti petunjuk-petunjuk momentum ekonomi serta potensi implikasinya terhadap hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS (Fed).

“Kompas pasaran juga berkemungkinan dihalakan kepada kenyataan pegawai Fed. Jika nada mereka lebih cenderung atau berpihak kepada menurunkan kadar faedah berbanding kenyataan berhati-hati Pengerusi Jerome Powell, dolar AS lebih mudah untuk susut manakala ringgit mengukuh semula,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula mengunjurkan mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit akan mendapat tarikan jika pelabur menganggap Fed ketinggalan dalam memberi reaksi terhadap dasar monetari.

“Setakat ini, bank pusat itu lebih dilihat sebagai berada di landasan tepat dalam mengemudi dasar monetari,” katanya.

Berikutan itu, beliau mengunjurkan ringgit berkemungkinan kekal di atas paras 4.20 berbanding dolar AS dalam masa terdekat ini.

Bagi asas perbandingan mingguan, ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.2040/2115 berbanding 4.1975/2080 sebelumnya.

Unit tempatan itu juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.8419/8471 daripada 2.8373/8446 minggu sebelumnya dan rendah berbanding euro kepada 4.9447/9536 daripada 4.9203/9326, namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6775/6876 daripada 5.6864/7006.

Selain itu, ringgit memaparkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.2744/2805 daripada 3.2719/2803 minggu lepas dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.36/7.38 daripada 7.35/7.37.

Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 253.2/253.8 daripada 256.3/257.0 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1973/2271 daripada 13.2317/2703 minggu sebelumnya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum menyusut
Next: Bursa Malaysia dijangka mendatar dengan kecenderungan meningkat minggu depan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.