
KUALA LUMPUR: Ringgit diunjur diniagakan dalam julat RM4.05 hingga RM4.07 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan ketika pasaran berkemungkinan menumpukan perkembangan membabitkan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) serta Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM).
FOMC dijangka mengumumkan minit mesyuaratnya pada 9 Julai ini manakala mesyuarat MPC pula dijadualkan pada tarikh sama.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kalangan peniaga, pelabur dan ahli ekonomi akan meneliti minit mesyuarat FOMC bagi mendapatkan isyarat berkaitan kadar faedah utama AS berikutan ketiadaan sebarang petunjuk mengenai prospek dasar pada mesyuarat Jun lepas.
“Kami juga percaya Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus berikutan tiada sebab kukuh untuk mengubah pendirian dasar monetari semasa,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata gandingan dolar AS/ringgit juga berkemungkinan cuba untuk melepasi paras RM4.05 pada minggu depan.
Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.0690/0735 berbanding dolar AS daripada 4.0860/0910 pada seminggu sebelumnya.
Dalam pada itu, sepanjang minggu ini, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.
Ini termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5253/5281 daripada 2.5283/5316, mengukuh berbanding euro kepada 4.6553/6606 daripada 4.6605/6662, naik berbanding yen Jepun kepada 2.5253/5281 daripada 2.5283/5316 serta lebih tinggi berbanding euro kepada 4.6553/6606 daripada 4.6605/6662 sebelumnya.
Bagaimanapun, berbanding pound Britain, ringgit susut kepada 5.4325/4385 daripada 5.4013/4079 pada minggu lepas.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1521/1558 daripada 3.1581/1625, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 226.5/226.8 daripada 227.9/228.3 serta mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.63 daripada 6.66/6.67 pada Jumaat lepas.
Namun berbanding baht Thailand, ringgit turun kepada 12.2782/2966 daripada 12.2445/264 sebelum ini.- Bernama