
KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam julat 4.04-4.07 pada minggu depan dengan keseimbangan risiko cenderung ke arah pengukuhan ringgit ketika pelabur beralih daripada dolar Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan memberitahu Bernama, hala tuju ringgit akan ditentukan oleh laporan terkini pekerjaan bukan perladangan (NFP) AS yang dapat mempengaruhi jangkaan terhadap tindakan Rizab Persekutuan (Fed) AS.
Beliau berkata pertumbuhan guna tenaga pada Disember 2025 mencatat 50,000 pekerjaan, lebih rendah daripada jangkaan konsensus sebanyak 60,000.
Semakan bersih bagi dua bulan sebelum ini berkurangan 76,000 pekerjaan, sekali gus mengesahkan bahawa momentum pasaran buruh AS telah lemah dengan ketara menjelang akhir tahun.
Mohd Sedek berkata walaupun kadar pengangguran turun walaupun kadar pengangguran susut kepada 4.4 peratus, keadaan itu sebaliknya lebih mencerminkan bekalan tenaga kerja yang lebih terhad berbanding peningkatan pengambilan pekerja.
Perkembangan itu sekali gus mengukuhkan naratif bahawa kelembapan kitaran ekonomi yang lebih perlahan berbanding peningkatan semula pertumbuhan, kata Mohd Sedek.
“Data NFP yang berbeza daripada jangkaan awal itu juga seiringan dengan pandangan kami mengenai kemungkinan Fed tidak akan mengurangkan kadar faedah seterusnya pada mesyuarat bulan ini dan membiarkan kelonggaran itu dilaksanakan kemudiannya apabila keadaan guna tenaga terus perlahan.
“Bersandarkan senario itu selain (faktor) momentum pertumbuhan Malaysia yang mengukuh, kedudukan dagangan yang berdaya tahan serta permintaan domestik yang stabil hanya memberi asas kukuh bagi ringgit,” katanya.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah pada minggu ini dan dibuka pada paras 4.05 berbanding dolar AS pada Isnin, namun susut kepada 4.06 pada pagi Jumaat dan mengakhiri urus niaga minggu ini pada 4.07.
Berbanding kumpulan mata wang lain, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi pada minggu ini.
Ini termasuk mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5805/5848 daripada 2.5817/5848 pada minggu sebelumnya, meningkat berbanding euro kepada 4.7383/7459 daripada 4.7488/7540, namun rendah berbanding pound Britain kepada 5.4579/4666 daripada 5.4509/4569 sebelum ini.
Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara anggota ASEAN yang lain.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 241.9/242.4 daripada 242.2/242.6 seminggu lepas dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.87/6.88 daripada 6.88/6.89, sebelumnya.
Unit tempatan itu susut berbanding baht Thailand kepada 12.9474/9738 daripada 12.8996/9201 pada minggu lepas dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1629/1682 daripada 3.1502/1540.- Bernama