
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong jangkaan yang semakin meningkat terhadap penurunan kadar faedah AS susulan keyakinan pengguna kian lemah serta kebimbangan terhadap peningkatan harga akibat kenaikan tarif.
Unit tempatan juga dibuka tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama lain.
Pada 8.00 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2060/2265 berbanding dolar AS daripada 4.2160/2210 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.21 peratus kepada 98.225 mata apabila kemungkinan penurunan kadar faedah AS menjadi semakin jelas.
Beliau berkata pertikaian terkini antara Presiden AS Donald Trump dan kalangan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) berkenaan dengan pemecatan seorang gabenor Fed telah menimbulkan keraguan terhadap kebebasan bank pusat itu.
Keadaan tersebut sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa Trump cuba mendapatkan pengaruh yang lebih besar dalam usaha beliau mendesak supaya kadar faedah lebih rendah, katanya.
“Masih belum dapat dipastikan sama ada Trump mempunyai justifikasi undang-undang untuk melaksanakan keputusan sedemikian.
“Oleh itu, ringgit dijangka mencatatkan lantunan, dengan USD/MYR diunjurkan berlegar sekitar paras psikologi 4.20 memandangkan Fed mungkin mengurangkan kadar faedah pada mesyuarat September,” katanya kepada Bernama.
Ketika dagangan dibuka, ringgit turut diniagakan lebih kukuh berbanding beberapa mata wang utama.
Unit domestik meningkat berbanding euro kepada 4.8949/9188 daripada 4.9087/9145 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.8519/8660 daripada 2.8571/8607.
Ringgit turut lebih tinggi berbanding pound British kepada 5.6684/6961 daripada 5.6827/6895.
Riinggit juga didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2716/2878 daripada 3.2786/2828 ketika ditutup pada Selasa, dan lebih stabil berbanding baht Thailand kepada 12.9615/13.0351 daripada 12.9707/9917.
Ringgit mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.41 daripada 7.38/7.40, dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 258.0/259.4 daripada 258.6/259.0.– Bernama