Ringgit dibuka tinggi berbanding mata wang utama, hampir tidak berubah daripada dolar AS

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding mata wang utama lain dan hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada Selasa berikutan pengumuman data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) Amerika Syarikat (AS).

Pada 8.00 pagi, mata wang tempatan hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada paras 4.0935/1000 daripada 4.0935/0975 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata PMI Pembuatan ISM AS mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan apabila indeks meningkat kepada 55.6 mata pada Julai berbanding anggaran konsensus 54.0 mata, sekali gus mengukuhkan jangkaan bahawa kadar faedah di AS akan dinaikkan.

“Daripada maklum balas kaji selidik, syarikat-syarikat di AS dilihat kekal berdaya tahan walaupun berdepan tarif import yang lebih tinggi dan kenaikan harga tenaga. Sektor berkaitan teknologi dan pelaburan kecerdasan buatan melaporkan maklum balas yang positif.

“Bagaimanapun, respons dalam kalangan syarikat adalah bercampur-campur memandangkan kos pengangkutan yang masih tinggi, mendorong mereka untuk memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi sebagai pendekatan untuk meminimumkan impak terhadap margin keuntungan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal kukuh pada paras 99.952 mata manakala harga minyak mentah menurun susulan keyakinan bahawa rundingan antara AS dan Iran pada akhirnya akan membawa kepada pembukaan semula Selat Hormuz.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan kadar pertukaran dolar AS-ringgit akan terus bergerak dalam julat kecil sekitar RM4.08 hingga RM4.10 hari ini,” katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit dijangka terus bergerak dalam julat kecil hari ini walaupun saham teknologi AS mencatatkan pemulihan yang kukuh.

Beliau berkata penurunan hasil bon AS, yang disokong harga minyak lebih rendah serta jangkaan inflasi yang semakin sederhana, sewajarnya memberi kesan positif kepada aset berisiko di rantau ini.

“Bagaimanapun, isyarat luaran yang menggalakkan itu diimbangi oleh ketidaktentuan politik dalam negara. Perhatian pasaran semakin tertumpu kepada sama ada Pakatan Harapan mampu bangkit semula daripada Pilihan Raya Negeri Johor pada 11 Julai dan menangkis cabaran politik yang lebih luas.

“Pada pandangan saya, ketidaktentuan ini menghalang ringgit daripada menerima manfaat sepenuhnya daripada peningkatan sentimen risiko global,” katanya.

Pada awal dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5982/6027 daripada 2.6062/6089 semasa ditutup pada Isnin, meningkat berbanding euro kepada 4.7104/7179 daripada 4.7165/7211 serta naik berbanding pound Britain kepada 5.4963/5051 daripada 5.5053/5107.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1908/1961 daripada 3.1911/1944 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.2468/2718 daripada 12.2663/2827.

Bagaimanapun ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 227.4/227.9 daripada 227.4/227.7 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.72/6.73. – Bernama