
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin berikutan harapan terhadap penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang akan datang meningkat selepas data terkini menunjukkan pasaran tenaga kerja AS lemah, kata ahli ekonomi.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2350/2550 berbanding dolar AS daripada 4.2750/2815 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS mencatatkan lebih rendah daripada jangkaan dan mengejutkan pasaran.
Pada Jumaat lepas, Biro Statistik Buruh (BLS) AS melaporkan data NFP pada Julai mencatatkan 73,000, jauh lebih rendah daripada jangkaan pasaran sebanyak 110,000.
Mohd Afzanizam berpendapat pasaran tenaga kerja AS lemah, sekali gus mengukuhkan kemungkinan penurunan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada September.
“Indeks Dolar AS (DXY) merosot kepada 98.708 mata manakala hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun mencatatkan penurunan ketara sebanyak 25 mata asas untuk ditutup kepada 3.69 peratus pada Jumaat lepas.
“Sehubungan itu, ringgit dijangka mengukuh sedikit hari ini selepas susut sebanyak 0.22 peratus pada Jumaat lepas kepada 4.2782,” katanya, sambil menambah ringgit dijangka diniagakan dalam julat 4.26 hingga 4.27 hari ini.
Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding mata wang utama lain dalam dagangan awal.
Ia rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8749/8887 daripada 2.8407/8452 pada Jumaat lepas, merosot berbanding pound kepada 5.6296/6562 daripada 5.6208/6293 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.9075/9307 daripada 4.8752/8826.
Sebaliknya, mata wang tempatan kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2873/3031 daripada 3.2907/2960 pada Jumaat lepas, bagaimanapun merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0388/1084 daripada 13.0058/0319.
Ia naik berbanding peso Filipina kepada 7.28/7.32 daripada 7.35/7.36 minggu lepas dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 256.4/257.8 daripada 258.8/259.4.
-Bernama