
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, mengetepikan kelemahan mata wang G10 secara amnya apabila gabungan keyakinan domestik dan dorongan serantau menambah baik sentimen, kata penganalisis.
Pada 8.07 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2120/2225 berbanding dolar AS daripada 4.2135/2210 ketika ditutup semalam.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata walaupun data AS adalah lebih baik berbanding jangkaan dan kenaikan hasil Perbendaharaan memberi tekanan kepada kebanyakan mata wang utama namun, ringgit memperoleh kekuatan daripada tiga perkembangan positif.
“Wujud keyakinan yang semakin meningkat bahawa Malaysia dijangka mencapai perjanjian perdagangan dengan AS dalam masa terdekat, mungkin berpandukan kepada persetujuan tarif 15 peratus yang dimeterai antara AS dan Jepun.
“Perkara itu sahaja sudah cukup untuk mendorong pasaran menjangkakan unjuran eksport yang lebih memberangsangkan, terutama bagi sektor bernilai tinggi Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Pada Khamis, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia sedang giat berunding dengan AS berhubung tarif 25 peratus yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini dengan sasaran untuk mengurangkannya di bawah paras 20 peratus.
Innes berkata sentimen pelabur turut didorong oleh jangkaan terhadap rundingan peringkat tinggi di Stockholm, Sweden minggu hadapan, antara Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dan pegawai kanan China.
Beliau berkata pasaran melihat pertemuan itu sebagai pemangkin berpotensi untuk meredakan ketegangan antara AS dan China secara lebih meluas, yang secara sejarahnya boleh meningkatkan minat risiko bagi seluruh mata wang Asia, termasuk terhadap ringgit.
Innes berkata selain itu, kesan pengganda daripada rangsangan fiskal Malaysia baru-baru ini, terutama pemberian tunai RM100 dan pelan subsidi bahan api, turut menambah sokongan domestik.
“Langkah ini dijangka menghasilkan kitaran pantas dalam ekonomi, sekali gus mengukuhkan perbelanjaan pengguna dan keyakinan pelabur dalam jangka masa terdekat.
“Secara keseluruhan, faktor-faktor ini membantu ringgit menepis tekanan daripada pengukuhan dolar AS dan bergerak dalam sesi dagangan dengan momentum yang kukuh,” kata Innes.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan ringgit diniagakan dalam julat RM4.21 hingga RM4.23 berbanding dolar AS hari ini.
Beliau berkata jangkaan itu mengambil kira kemungkinan aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan sepanjang minggu ini.
Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8606/8680 daripada 2.8751/8804 ketika ditutup semalam dan naik berbanding pound British kepada 5.6883/7025 daripada 5.7080/7182.
Ringgit lebih tinggi berbanding euro kepada 4.9491/9614 daripada 4.9517/9605.
Ringgit juga didagangkan lebih kukuh berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2958/3045 daripada 3.2995/3057 ketika ditutup semalam, dan sedikit tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 258.4/259.2 daripada 258.5/259.1.
Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.43/7.45, dan lebih stabil berbanding baht Thailand kepada 13.0459/0857 daripada 13.0570/0863. – Bernama