
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi hari ini dalam situasi kebimbangan geopolitik yang berterusan dan walaupun dolar AS mengukuh selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2435/2650 berbanding dolar AS daripada 4.2500/2550 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS kebanyakannya tinggi semalaman selepas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan kadar dana Fed pada paras 4.25 hingga 4.50 peratus.
“Fed bimbang mengenai risiko inflasi yang tinggi dan mereka perlu terus berwaspada manakala konflik Timur Tengah masih belum selesai berikutan kemungkinan AS menyertai konflik ketenteraan Israel-Iran masih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Dalam negara, katanya ringgit merosot berbanding dolar AS pada Khamis sebanyak 0.22 peratus berikutan pengukuhan mata wang AS itu dan pelabur juga berhati-hati terhadap halangan yang akan datang, iaitu tamatnya tempoh penangguhan tarif selama 90 hari pada awal Julai.
“Sehubungan itu, kami menjangka ringgit kekal rendah dalam masa terdekat berikutan sentimen pasaran yang masih berhati-hati,” katanya.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9276/9426 daripada 2.9322/9359 pada Rabu, mengukuh berbanding pound kepada 5.6922/7211 daripada 5.7218/7285 dan naik berbanding euro kepada 4.8698/8945 daripada 4.8888/8945 sebelum ini.
Mata wang tempatan juga tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3018/3188 daripada 3.3074/3115 semalam dan naik kepada 12.9794/13.0536 daripada 13.0240/0449 berbanding baht Thailand.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 260.1/261.5 daripada 260.5/260.9 semalam dan berada pada 7.45/7.49 berbanding peso Filipina daripada 7.46/7.48 sebelum ini.– Bernama