
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar AS pada hari pertama dagangan Mac berikutan sentimen penghindaran risiko yang semakin ketara susulan serangan bersama Amerika Syarikat (AS)- Israel ke atas Iran pada hujung minggu.
Pada 8.01 pagi, ringgit susut 0.19 peratus kepada 3.8985/9205 berbanding dolar AS 3.8910/8960 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran kini memberi tumpuan utama kepada tempoh dan tahap keseriusan konflik berkenaan.
“Tindakan Iran menutup laluan di Selat Hormuz serta potensi konflik itu berkembang menjadi krisis serantau antara risiko jangka pendek. Susulan itu, harga minyak mentah berkemungkinan melonjak dan menjejaskan sentimen perniagaan.
“Selain itu, dengan kebimbangan terhadap risiko stagflasi di AS yang turut berpotensi memberi kesan kepada negara lain, sentimen penghindaran risiko ini dijangka melemahkan ringgit hari ini,” katanya kepada Bernama.
Setakat ini, minyak mentah WTI meningkat 7.01 peratus kepada AS$71.72 setong manakala minyak mentah Brent naik 7.34 peratus kepada AS$78.22 setong.
Pada pembukaan dagangan, ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.
Unit tempatan itu meningkat berbanding euro kepada 4.5835/6093 daripada 4.5898/5957 ketika ditutup Jumaat lepas, naik berbanding yen Jepun kepada 2.4885/5027 daripada 2.4930/4963 serta mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2252/2546 daripada 5.2470/2538.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0697/0873 daripada 3.0742/0784 pada Jumaat lepas dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.4732/5512 daripada 12.5153/5370.
Mata wang tempatan itu bagaimanapun susut berbanding peso Filipina kepada 6.76/6.80 daripada 6.75/6.76 serta lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 232.1/233.6 daripada 231.7/232.2.- Bernama