Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Ringgit dibuka rendah menjelang mesyuarat BNM
  • BISNES

Ringgit dibuka rendah menjelang mesyuarat BNM

Utusan Sarawak 6 hours ago

KUALA LUMPUR:  Ringgit memulakan urus niaga Rabu dengan susut sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan sentimen berhati-hati pelabur menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia hari ini ketika ahli ekonomi tidak senada mengenai prospek penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kata penganalisis.

Pada 8.00 pagi ini, ringgit susut kepada 4.2380/2660 berbanding dolar AS daripada 4.2365/2445, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata alasan kecenderungan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas adalah jelas berikutan risiko pada separuh kedua 2025 yang meningkat susulan kejutan akibat tarif.

“Kadar dasar monetari semasa dianggap ketat dengan kadar faedah sebenar meningkat kepada 1.80 peratus pada Mei yang jauh melepasi purata jangka panjang sebanyak 0.88 peratus.

“Namun begitu, ringgit dijangka didagangkan dalam julat lebih kecil iaitu mungkin RM4.23 hingga RM4.24 ketika pelabur menunggu penilaian dasar terkini oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC),” katanya kepada Bernama.

Merujuk perkembangan luar negara, Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal stabil sekitar 97.516 mata walaupun wujud kebimbangan mengenai potensi kesan tarif terkini oleh AS.

Pada masa sama, beliau berkata indeks penanda aras ekuiti AS terbukti susut dengan indeks S&P 500 turun 0.07 peratus untuk ditutup pada paras 6,255.52 mata manakala hasil Perbendaharaan 10 tahun AS naik dua mata asas kepada 4.40 peratus.

“Pasaran kelihatan kurang terjejas oleh retorik tarif Presiden Donald Trump berbanding (keadaan pada) April. Mungkin juga ada keraguan mengenai kemampanan dan pelaksanaan dasar itu memandangkan prestasi pentadbiran Trump yang diketahui sering berubah-ubah,” katanya.

Sementara itu, ringgit juga mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama pada sesi awal hari ini.

Ini termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8850/9042 daripada 2.8970/9026, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7569/7949 daripada 5.7591/7700 dan naik berbanding euro kepada 4.9682/5.0010 daripada 4.9745/9839.

Ringgit bagaimanapun bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3102/3323 daripada 3.3152/3217 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9900/13.0839 daripada 13.0182/0488.

Namun, ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 261.5/263.3 daripada 261.4/262.0 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 7.52/7.57 daripada 7.51/7.53.– Bernama

Continue Reading

Previous: MITI akan adakan sidang media esok mengenai tarif terkini AS – Tengku Zafrul
Next: Bursa Malaysia dibuka melantun, akhiri penyusutan dua hari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.