KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan kenaikan harga minyak mentah Brent yang meningkatkan kebimbangan inflasi, sekali gus mendorong jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS, kata seorang penganalisis.
Pada 8.00 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 4.0380/0445 berbanding dolar AS daripada 4.0370/0410 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata serangan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang disambung semula, mendorong harga minyak mentah Brent lebih tinggi, kekal sebagai tumpuan utama dalam kalangan peniaga dan pelabur kerana risiko geopolitik terus mendominasi keadaan.
Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent naik 0.78 peratus kepada US$95.46 setong.
Mohd Afzanizam berkata kebimbangan terhadap inflasi dan peningkatan kebarangkalian kenaikan kadar faedah Fed AS telah mengukuhkan nilai dolar AS.
“Indeks dolar AS (DXY) meningkat 0.25 peratus kepada 99.677 mata apabila kebarangkalian kenaikan kadar faedah AS dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada September meningkat kepada 65 peratus,” katanya kepada Bernama.
Justeru, beliau menjangkakan ringgit diniagakan secara berhati-hati pada paras sekitar 4.03 hingga 4.05 hari ini.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5203/5245 daripada 2.5223/5250 ketika ditutup pada Selasa, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4561/4649 daripada 5.4657/4711, dan menambah berbanding euro kepada 4.6800/6876 daripada 4.6801/6847.
Dalam pada itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1705/1761 daripada 3.1703/1736 pada penutupan Selasa, bagaimanapun meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 227.5/228.0 berbanding 227.5/227.8 sebelum itu.
Mata wang tempatan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.1188/1438 daripada 12.1315/1483 ketika ditutup semalam tetapi tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.47/6.48.- Bernama




