
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pada Rabu namun lebih tinggi berbanding mata wang utama berikutan pelabur terus berhati-hati menjelang minggu yang sarat dengan data pasaran buruh Amerika Syarikat (AS).
Pada 8 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 4.0475/0745 berbanding dolar AS daripada 4.0445/0495 ketika ditutup semalam.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata peniaga mengekalkan pendirian defensif, yang berkecenderungan memberi impak kepada mata wang pasaran pesat membangun seperti ringgit pada awal dagangan.
Antara data ekonomi AS yang penting pada minggu ini adalah Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan Jumlah Tenaga Kerja AS (JOLTS) dan data pekerjaan ADP.
“Situasi yang biasanya menyokong dolar AS semakin kurang memberi sokongan. Kenaikan pada akhir Disember telah mula kehilangan momentum, dan pasaran menjangka kadar faedah AS kekal tidak berubah pada akhir bulan ini, yang semakin mengurangkan kelebihan dolar.
“Seiring dengan perkembangan itu, aliran perdagangan Malaysia yang semakin kukuh dan permintaan domestik yang berdaya tahan menyediakan asas kepada ringgit, membantu mengehadkan penyusutan dan menstabilkan mata wang apabila sentimen global kembali seperti lazimnya,” katanya kepada Bernama.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5836/5902 daripada 2.5865/5899 pada Selasa, meningkat berbanding euro kepada 4.7303/7420 daripada 4.7373/7432, dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4637/4772 daripada 5.4742/4810 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau ASEAN.
Ringgit meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 241.5/242.2 daripada 243.1/241.7 dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1604/1684 daripada 3.1608/1649.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.9678/13.0094 daripada 12.9383/9592, dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.83/6.85 daripada 6.83/6.84 semalam.- Bernama