
KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga Khamis dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lainnya walaupun terdapat pengumuman data ekonomi AS lebih kukuh pada lewat malam tadi.
Pada 8.00 pagi ini, ringgit mengukuh ke paras 4.0550/0680 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0560/0610, semalam.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun data ekonomi AS itu terbukti kukuh, terutama Indeks Perkhidmatan ISM, data lain seperti Indeks Dolar AS Bloomberg Asia sebaliknya kekal mendatar yang hanya menunjukkan tiada peralihan ketara ke arah mengelak risiko mata wang Asia.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Sektor Perkhidmatan ISM bagi AS mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan yang menyaksikan sektor perkhidmatan itu dalam fasa pengembangan untuk bulan ketiga berturut-turut pada Disember lepas.
PMI ISM yang memaparkan perubahan arah aktiviti ekonomi, meningkat kepada 54.4 pada Disember 2025 daripada 52.6 pada bulan sebelumnya.
“Pada peringkat makro, keadaan persekitaran kekal menyokong ringgit. Hasil bon jangka panjang AS telah turun sedikit manakala harga minyak mentah Brent telah lemah apabila premium risiko berkaitan Venezuela terus berkurangan yang meredakan tekanan inflasi global dan kos tenaga.
“Bagi Malaysia, harga minyak lebih rendah mengurangkan inflasi import dan ketirisan subsidi manakala hasil AS yang rendah akan mengecilkan kelebihan atau manfaat dari segi pegangan dolar AS (bagi tempoh lebih lama),” katanya kepada Bernama.
Berikutan itu, beliau berkata pergerakan harga semasa dolar AS dan ringgit atau USD/MYR mencerminkan kedudukan dolar jangka pendek dan bukannya aliran keluar modal yang membolehkan ringgit yang secara umumnya kekal stabil dengan kecenderungan positif yang sederhana sepanjang sesi urus niaga.
Dalam pada itu, pada sesi awal hari ini, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Ini termasuk mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5876/5960 daripada 2.5920/5954 semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.7350/7502 daripada 4.7394/7453 serta meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4572/4747 daripada 5.4732/4799 sebelum ini.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.
Berbanding rupiah Indonesia, ringgit meningkat kepada 241.6/242.5 daripada 241.7/242.1 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1613/1717 daripada 3.1641/1682.
Selain itu, ringgit naik berbanding baht Thailand kepada 12.9391/9906 daripada 12.9630/9852 namun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.83/6.86 daripada 6.83/6.84 semalam. – Bernama