
SRI AMAN: Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) bukan sekadar aktiviti tahunan, sebaliknya merupakan usaha murni untuk menyatukan murid-murid daripada pelbagai kaum, budaya dan agama.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata pelaksanaan pelbagai aktiviti seperti sukan, seni, patriotisme, akademik dan khidmat masyarakat mampu melatih kemahiran diri anak-anak selain membuka ruang untuk mereka belajar bekerjasama dan menghormati perbezaan.
“Melalui program sebegini, murid bukan sahaja menggilap bakat masing-masing, malah mereka juga membina persahabatan yang kukuh tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program RIMUP yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat, di sini semalam.



DATO Sri Doris Sophia Brodie hadir pada Program RIMUP yang diadakan di SK Tanjung Bijat, di sini semalam. Foto: Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Aman
Doris turut menggesa agar guru-guru, ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan penting sebagai pendidik, penjaga dan pembimbing dalam membentuk sahsiah generasi muda.
Katanya, sekolah perlu menjadi pusat perpaduan bangsa yang menghubungkan semua pihak demi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan inklusif.
“Murid ialah pewaris negara, justeru apabila kita bersatu hati, Malaysia akan terus aman, makmur dan disegani di persada dunia,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman