Baru-baru ini Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah mengumumkan bahawa Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) akan diperkenalkan semula di sekolah-sekolah di negeri ini mulai tahun hadapan.
Langkah ini diambil kerana kerajaan melihat RIMUP sebagai satu program yang berguna bagi menggalakkan interaksi antara pelajar pelbagai kaum di negeri ini bagi mewujudkan persefahaman dan perpaduan, seterusnya memupuk sikap hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adat resam sesama kaum.
Pendekatan ini juga bertujuan memupuk nilai-nilai murni dari usia muda dalam kalangan pelajar, selaras dengan peranan sistem pendidikan sebagai salah satu alat terpenting dan berkesan bagi membangunkan identiti nasional, semangat kebangsaan, perpaduan dan cinta kepada negara dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
RIMUP menggalakkan pelajar berinteraksi di dalam satu aktiviti seperti permainan, acara kebudayaan, makanan, cara hidup dan sebagainya dengan penyertaan bersama para guru dan masyarakat setempat melalui perkongsian kemudahan, peralatan, penggemblengan tenaga serta kepakaran.
Secara langsung, aktiviti secara bersama ini mampu memupuk semangat dan budaya perpaduan dalam kalangan semua yang terlibat, terutama para pelajar sekolah.
Ia menepati sasaran kerana matlamat RIMUP adalah untuk generasi Malaysia yang berilmu pengetahuan, memiliki jiwa dan peribadi yang unggul, bersemangat muhibah serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu.
Dari aspek sejarahnya, RIMUP sebenarnya telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan sejak 1986 di peringkat sekolah rendah dan kemudian diperluaskan ke sekolah menengah pada tahun 2005.
Di Sarawak, RIMUP pernah dilaksanakan di bawah Majlis Pembangunan Sosial tetapi dihentikan apabila Kerajaan Persekutuan bertukar tangan. Melihat kepada kepentingannya, Sarawak mengambil langkah memperkenalkan kembali program ini ke sekolah-sekolah di negeri ini.
Fatimah menambah kata, RIMUP juga dilihat dapat menangani isu di sekolah-sekolah vernakular apabila para pelajarnya kurang bergaul dengan bangsa lain dan menggunakan bahasa sendiri sebagai bahasa pertuturan seharian.
Justeru, Sarawak mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan kembali RIMUP ke sekolah-sekolah sebagai satu langkah untuk menyatukan penduduk di negeri ini.
OBJEKTIF RIMUP
Terdapat empat ruang lingkup yang digariskan sebagai objektif RIMUP iaitu:
– Menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, para guru dan para pelajar serta warga sekolah dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah di dalam kegiatan-kegiatan khas secara bersama.
– Mewujudkan sikap kerjasama, tolong-menolong dan mewujudkan suasana muhibah secara sedar dan terancang.
– Melahirkan persefahaman dan toleransi di antara para pelajar pelbagai kaum di sekolah.
– Berkongsi kemudahan, peralatan, tenaga dan kepakaran untuk menjayakan kegiatan-kegiatan khas secara bersama-sama.
Oleh Haini Darani