KUCHING: Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) bakal diperkenalkan semula di sekolah negeri ini bermula tahun hadapan, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah.
Beliau berkata, cadangan bagi program tersebut sebenarnya sudah bermula sebelum Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan terdahulu dibawah kementerian beliau iaitu Majlis Pembangunan Sosial.
“Kita telah melaksanakan program ini dengan memberi peruntukkan kepada sekolah supaya mereka mengadakan program itu. Apabila Pakatan Harapan ambil alih, jadi kita berhenti kerana kita tidak dibenarkan untuk masuk sekolah dulu.
“Sekarang kita perkenalkan balik, di Sarawak.
“Saya berpendapat, RIMUP adalah satu program yang berguna bagi menggalakkan interaksi antara pelajar,” ujar Fatimah selepas Majlis Pelancaran Sesi Maklum Balas Rakyat Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 Bahagian Sarawak di Yayasan Sarawak, semalam.
Beliau berkata, di bawah RIMUP, ia diadakan bagi pelajar berinteraksi dalam satu rancangan aktiviti yang mana mereka berpeluang berinteraksi sama ada aktiviti mainan, acara kebudayaan, carta ataupun berkaitan pakaian, makanan dan cara hidup.
“Jadi, dengan cara sedemikian maka, akan ada cara untuk berinteraksi ataupun belajar melihat dan ia rancangan kita untuk Sarawak,” kata beliau.
Ketika ditanya mengenai pemansuhan sekolah vernakular, Fatimah berkata, mengenai sejarah sekolah tersebut diwujudkan dahulu serta latar belakang sekolah dan juga lihat kedudukannya sekarang ini.
“Ada yang berpendapat bahawa ini (sekolah vernakular) yang menyumbang kepada polarisasi.
“Tapi kalau kita lihat secara lebih mendalam, hal yang menyebabkan polarisasi ada banyak sebab lain sebenarnya.
“Sekolah vernakular ada kebaikannya dan kalau ada kelemahan, saya melihat pada apa yang boleh dibuat.
“Misalnya, kalau kelemahan dari aspek mereka kurang bergaul dengan bangsa lain, hanya dengan sesama mereka sahaja. Oleh itu, kita lihat apa yang boleh buat di bawah Kementerian Pendidikan.
“Apa yang dibuat adalah menyedari tentang hakikat bahawa di Malaysia ini ada sekolah vernakular, sekolah kebangsaan, jadi ini sudah ada sejak zaman dahulu lagi. Apa kelemahannya?
“Pelajar tidak bergaul, hanya tahu pasal bangsa, bergaul sama kaum sendiri, bangsa sendiri. Bahasa pertuturan juga menggunakan bahasa sendiri.,” jelas Fatimah.
Justeru, Sarawak mempunyai perancangan sendiri iaitu melaksanakan RIMUP di sekolah-sekolah.
“Saya bersetuju bahawa sekolah vernakular tidak harus dimansuhkan namun mengambil tindakan yang lebih proaktif supaya kita dapat menyuarakan sebab yang menimbulkan masalah seperti polarisasi, tiada interaksi antara pelajar sekolah yang homogenous, yang bukan heterogenous sifatnya,” tambahnya.
Oleh Alexandra Lorna