
KUALA LUMPUR: Rimini Street, peneraju global dalam sokongan dan perkhidmatan perisian perusahaan, bakal membuat pelaburan besar di Malaysia dengan merancang untuk mengambil 1,000 jurutera bagi menyokong pengembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) syarikat itu di seluruh Asia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Seth Ravin berkata pemilihan Malaysia sebagai lokasi strategik untuk pertumbuhan AI adalah berdasarkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta dasar digital negara yang bersifat progresif dan berpandangan jauh.
Dalam satu temu bual bersama Bernama, beliau berkata walaupun jumlah kos keseluruhan bagi pengambilan 1,000 jurutera itu belum dimuktamadkan, proses pengambilan dijangka mengambil masa beberapa tahun.
Sebuah ruang pejabat yang besar juga sedang dalam proses penubuhan bagi menyokong perkembangan operasi syarikat di Malaysia, katanya.
“AI tidak seharusnya ditakuti sebagai ancaman kepada pekerjaan, sebaliknya harus diterima sebagai pemangkin transformasi,” katanya.
Ravin turut menyentuh kejayaan pelanggan tempatan Rimini Street, Sunway Group.
Beliau berkata kumpulan itu berjaya mengautomasi pelbagai operasi, mengoptimumkan ekosistem IT serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, tanpa menjejaskan jumlah pekerjaan, dengan menggunakan penyelesaian AI yang ditawarkan oleh syarikat.
“Kewujudan kami bukan untuk mengurangkan tenaga kerja, tetapi untuk meningkatkan produktiviti mereka. Bayangkan keterujaan apabila pekerja diberi kuasa untuk memikul peranan baharu yang sebelum ini tidak pernah mereka jangkakan,” kata Ravin.
Mengulas mengenai ketidaktentuan tarif global, Ravin menasihatkan perniagaan agar memberi tumpuan kepada trend jangka panjang seperti penggunaan AI dan evolusi rantaian bekalan, dan tidak bertindak balas secara terburu-buru terhadap perubahan politik jangka pendek.
“Implikasi sebenar tarif global masih belum jelas, dan kita tidak tahu sejauh mana ia akan mengubah trend perniagaan. Namun yang pasti, proses peralihan semula ekonomi (deglobalisation) ini akan mengubah secara asas cara kita menjalankan perniagaan,” katanya.
Ravin menegaskan bahawa penerimaan AI adalah penting untuk meningkatkan produktiviti serta menyediakan tenaga kerja bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
“Bagi kekal berdaya saing di peringkat global, Malaysia perlu melabur dalam literasi AI, latihan semula tenaga kerja, serta pembangunan rangka kerja peraturan yang kukuh bagi mengimbangi inovasi dengan etika,” kata beliau.
-Bernama