
DALAM sejarah pembangunan orang Melayu di Tanah Melayu, terdapat satu agensi yang mempunyai peranan penting dalam membangunkan orang Melayu iaitu RIDA.
RIDA adalah singkatan kepada Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau Rural Industrial Development Authority.
RIDA mula terbentuk atas usaha untuk membangunkan orang Melayu yang ketinggalan dalam pelbagai bidang pada era penjajahan British.
Penubuhannya disahkan pada Julai 1950 oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu.
Ketika itu Dato Onn Jaafar mula mengkaji mengenai bagaimana digerakkan usaha memajukan orang Melayu.
Beliau juga mengetuai RIDA dan mempunyai tanggungjawab besar dalam memajukan agensi tersebut.
Pada 11 Januari 1951, beliau bersama Abdul Razak Hussein (Tun) salah seorang ahli Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu telah berangkat ke Sri Lanka.
Lawatan mereka berdua ini bertujuan meninjau program pembangunan luar bandar di negara tersebut. Hasil lawatan itu, maka lahirlah kertas kerja untuk membentuk RIDA.
Peranan
Kertas kerja ini kemudiannya diterima, dan digubal sebagai satu ordinan pada 1953. Ordinan ini kemudiannya dikuatkuasa pada 1 Januari 1954.
Dalam Seksyen 4, Sub-seksyen 1 ordinan ini, memberi tugas kepada RIDA untuk merangsang, memudahkan dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan luar bandar.
Selepas ditubuhkan, RIDA memainkan peranan penting dalam memajukan orang Melayu.
Antara usaha dilakukannya adalah membantu memodenkan pertanian dalam kalangan orang Melayu, mengalakkan penanaman getah dalam kalangan orang Melayu di luar bandar dan membaiki kehidupan nelayan.
Tambahan daripada itu diwujudkan Bahagian Latihan RIDA dalam memajukan pendidikan dan latihan dalam kalangan orang Melayu.
Menerusi usaha ini, maka wujudnya Taman Asuhan RIDA, Kuala Lumpur; Medan Anyaman RIDA di Rusila, Terengganu; Dewan Latihan RIDA di Petaling Jaya; Sekolah Jentera Berladang di Ipoh, Perak dan Pusat Latihan Pengurus Ladang Getah.

Melebarkan sayap
Apabila Malaysia dibentuk, program RIDA ini juga melebar sayapnya ke Sarawak dan Sabah termasuk Singapura.
Hal ini ditegaskan oleh Abdul Rahman Ya’akub selaku Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Dalam hal ini Abdul Rahman (Tun) menyatakan sebelum usaha melebarkan operasi RIDA ke Sarawak (termasuk Sabah) perlu dahulu dipinda undang-undang untuk membolehkan operasinya dikembangkan ke negeri-negeri tersebut.
Beliau menambah bahawa undang-undang pada waktu itu hanya memberi peruntukan kuasa kepada RIDA dalam membangun dan memajukan penduduk luar bandar di Tanah Melayu sahaja.
Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak juga mempunyai pendapat yang sama di mana kegiatan RIDA ini perlu diperluaskan ke Sarawak termasuk juga Singapura dan Sabah.
Hal ini ditegaskan semula oleh timbalan perdana menteri tersebut semasa meletakkan batu asas bangunan RIDA di Kuala Lumpur pada Januari 1965.
Beliau menyatakan bahawa RIDA mempunyai tanggungjawab yang lebih besar selepas pembentukan Malaysia.
Atas sebab itu, RIDA tidak lagi hanya membangunkan orang Melayu di Tanah Melayu tetapi melebar sehingga ke Sarawak dan Sabah.
Dalam hal ini RIDA mengambil langkah untuk menyahut seruan kerajaan bagi melebarkan sayapnya ke Sarawak.
Hal ini dinyatakan oleh Pengerusi RIDA, Dato Abdul Rahman Musa yang telah diarahkan meninjau keadaan di Sarawak (Sabah dan Singapura).
Tinjauan ke Sarawak pada awal 1965 ini adalah untuk melihat persiapan mengadakan pejabat dan tempat kediaman para pegawai yang hendak dihantar ke Sarawak.

Latihan
Buat permulaan, aktiviti RIDA dirancang menurut Abdul Rahman Yaákub untuk melatih golongan wanita di Sarawak dalam urusan ekonomi rumah tangga di Taman Asohan RIDA.
Usaha ini penting menurut Abdul Rahman Yaákub untuk melahirkan guru-guru yang akan memberi tunjuk ajar tentang ekonomi rumah tangga di luar bandar.
Beliau juga berharap pada 1965, Taman Asohan RIDA ini juga akan diwujudkan di Sarawak.
Usaha untuk melatih golongan ibu dari Sarawak dilaksanakan pada 1965 apabila lima orang wakil dari Sarawak telah diterbangkan ke Kuala Lumpur.
Mereka yang dipilih ini terdiri daripada tiga orang dari Kuching iaitu Hadiah Yaman, Cecilia Branking dan Doreen Janting, manakala Sharifah Fatimah Tuanku Drahman dari Miri.
Wakil kelima dalah Dayang Zahrah Abang Ibrahim dari Sibu.
Mereka yang dipilih ini dilatih di Taman Asohan Wanita RIDA di Kuala Lumpur.
Mereka akan hadiri kursus-kursus di taman tersebut selama tiga bulan.
Program yang mereka ikuti ini adalah anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Dalam hal yang lain pula, Dewan Latihan RIDA yang mempunyai tujuan melatih anak-anak Bumiputera dalam pelbagai bidang profesional dan teknikal telah juga membuka peluang kepada anak-anak Bumiputera Sarawak mengikut kursus di dewan tersebut.
Pengetua Dewan Latihan RIDA tersebut, Bashah Marican menyatakan pada sesi pembukaannya Ogos 1965 bahawa mereka akan menerima antara 10 hingga 15 belia dari Sarawak, Sabah dan Singapura untuk belajar bersama-sama dengan pelajar dari Tanah Melayu.
Beliau berharap pada tahun-tahun ke hadapan, ramai lagi pelajar akan menerima pelajaran dan latihan di dewan tersebut.

Perubahan
Peranan dan sumbangan RIDA sepanjang 1964 hingga 1965 dilihat agak terhad untuk dijayakan di Sarawak.
Malahan RIDA menurut Tun Abdul Razak dalam kata-katanya pada Disember 1964 bahawa perlunya “a new image – a new look and perhaps a new name.”
Kenyataanmya itu menjurus kepada usaha untuk melakukan pembaharuan kepada RIDA.
Usaha ini akan dilaksanakan selepas diadakan kongres yang dijalankan pada awal Julai 1965.
Di sini beliau sekali menyatakan bahawa pembaharuan yang akan dilakukan ini akan melibatkan usaha meminda perundangan untuk membolehkan RIDA beroperasi di Singapura, Sarawak dan Sabah.
Usaha ini adalah perlu untuk membantu kerajaan membangunkan kawasna luar bandar.
Tambahan daripada itu pembaharuan yang dicadangkan adalah menubuh Lembaga pemasaran pertanian, membentuk industri kecil di luar bandar dan mengubah suai kuasa RIDA untuk memulakan usaha-usaha awal ini.
Usaha mengubah suai RIDA ini akhirnya membawa kepada penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Peranan MARA dalam membangunkan kaum Bumiputera di Sarawak amat ketara sejak awal penubuhannya.
Perkara ini akan dibicarakan pada wacana minggu hadapan.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).