
KUCHING: Persatuan Tenaga Hijau Mampan Malaysia (MSGEA) mengumumkan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Datuk Richard Tajan dilantik sebagai Felo Kehormat MSGEA.
Pelantikan tersebut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan cemerlang serta sumbangan berterusan beliau dalam bidang pengurusan air sisa mampan dan pembangunan tenaga hijau di Malaysia.
Beliau dianggap sebagai tokoh penting dalam usaha menjadikan air sisa sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan matlamat kelestarian alam sekitar.
Presiden MSGEA, Dr Ting Sie Chun berkata pelantikan tersebut bertepatan dengan hasrat persatuan untuk memperkukuh usaha penyelidikan dan inovasi tenaga hijau di Malaysia.
“Kami berbesar hati menerima Datuk Richard Tajan sebagai Felo Kehormat MSGEA. Beliau adalah contoh keunggulan kejuruteraan yang dipadukan dengan inovasi hijau, khususnya dalam meneroka potensi tenaga boleh diperbaharui berasaskan air sisa.
“Kami percaya air sisa bukan lagi bahan buangan sebaliknya aset yang belum diteroka sepenuhnya untuk pembangunan mampan dan pemulihan ekonomi hijau,” katanya.
Sebagai Felo Kehormat MSGEA, Datuk Richard Tajan berperanan sebagai penasihat strategik termasuk membantu membentuk agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D) persatuan dalam menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
Beliau juga akan terlibat secara langsung dalam usaha memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dan pihak berkepentingan dalam penyelidikan teknologi baharu seperti penukaran enap cemar kepada tenaga serta penghasilan tenaga biojisim dan bioalga daripada air sisa.
MSGEA merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) nasional yang komited mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah tenaga mampan menerusi advokasi, kerjasama, dan inovasi.
Persatuan ini juga aktif mempromosikan penyelidikan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti biojisim, bioalga, tenaga solar dan penyelesaian tenaga daripada air sisa, bagi menjadikan Malaysia peneraju tenaga mampan serantau.
Pelantikan ini juga merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama strategik di bawah PCDS 2030, khususnya dalam aspek kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur inovatif dan pengkomersialan tenaga boleh diperbaharui.
Oleh Norman B.