KUALA LUMPUR: AirAsia memberikan jaminan kepada penumpang semua penerbangan beroperasi mengikut jadual meskipun berdepan kesan ribut tropika Senyar selain mengaktifkan pemantauan dan penyelarasan krisis pada tahap tinggi.
Langkah pengaktifan pemantauan dan penyelesaian krisis tahap tinggi itu bagi memastikan perjalanan tidak terganggu serta keselamatan penumpang terjamin.
Dalam kenyataan malam tadi, menurut syarikat penerbangan itu ribut berkenaan, seperti yang dinyatakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang bergerak ke arah barat Semenanjung Malaysia bermula malam tadi hingga 29 Nov, membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan cuaca tidak stabil.
Ia dijangka menjejaskan beberapa negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Johor.
“Kami ingin memberikan jaminan kepada pelanggan bahawa semua langkah operasi telah diambil bagi memastikan kelancaran perjalanan.
“Semua penerbangan ketika ini beroperasi seperti dijadualkan, dan kami sedang memantau rapat situasi berkenaan bersama pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keadaan penerbangan yang selamat,” menurut kenyataan itu.
AirAsia turut menggesa penumpang supaya senantiasa berwaspada kerana cuaca buruk boleh menyebabkan banjir dan berpotensi menjejaskan penerbangan atau operasi lapangan terbang.
“Mereka yang melakukan perjalanan ke atau dari kawasan terjejas di Semenanjung Malaysia dalam tempoh ini dinasihatkan tiba lebih awal di lapangan terbang.
“Penumpang juga dinasihatkan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai penerbangan melalui aplikasi AirAsia MOVE, AskBo, serta e-mel berdaftar masing-masing,” menurut kenyataan itu.– BERNAMA