
ROMANIA: Ribut salji menjejaskan perjalanan udara, menutup jalan raya dan sekolah serta menyebabkan bekalan elektrik terputus kepada puluhan ribu penduduk di seluruh Romania semalam, menurut pihak berkuasa yang meletakkan negara itu dalam keadaan berjaga-jaga tinggi.
Ribut salji dan hujan salji lebat melanda bahagian tengah, selatan dan timur negara itu, menyebabkan bekalan elektrik terputus kepada lebih 166,000 kediaman di 10 wilayah, kata pegawai.
“Ia adalah fenomena cuaca yang teruk,” kata Florinela Georgescu, pengarah ramalan di agensi meteorologi Romania, kepada saluran Digi24. “Berkemungkinan ini yang paling ganas pada musim sejuk ini.”
Sehingga 9.00 pagi, tiada pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Otopeni, Bucharest, apabila salji setebal 30 sentimeter (12 inci) menyelaputi kawasan berkenaan. Lima penerbangan telah dibatalkan manakala lima lagi dialihkan ke lapangan terbang lain.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Henri Coanda, salji memaksa penutupan dua landasan, menurut kementerian dalam negeri.
Pengangkutan awam di Bucharest turut terjejas teruk akibat salji, manakala kereta api yang tiba di stesen utama mengalami kelewatan melebihi enam jam, menurut pemerhatian wartawan AFP.
Salji turut menyebabkan lebuh raya dan jalan utama di beberapa bahagian negara itu ditutup, menurut polis trafik.
Di Bucharest sahaja, perkhidmatan kecemasan terpaksa mengalihkan 241 batang pokok dan 18 tiang elektrik yang tumbang akibat berat salji. Banyak kenderaan yang terperangkap dalam salji juga terpaksa ditinggalkan, menurut kementerian dalam negeri.
-AFP