
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan negeri di Semenanjung serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak hingga 7.00 malam ini.
MetMalaysia memaklumkan, amaran cuaca berkenaan melibatkan Perlis, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagi Perak, kawasan yang terjejas ialah Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim serta Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Bentong, Maran, Kuantan dan Rompin di Pahang.
Bagi di negeri sebelah selatan, cuaca berkenaan dijangka berlaku di kawasan Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin di Negeri Sembilan serta seluruh Melaka dan Johor.
Di Sarawak, kawasan yang terjejas ialah Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu (Tatau), Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
Sementara itu, kawasan terlibat di Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud). – Bernama