
KUALA LUMPUR: Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Sabah dan Sarawak hingga 7.00 malam ini.
Menurut MetMalaysia, di Sarawak, kawasan yang dijangka terjejas ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu dan Limbang, manakala di Sabah melibatkan kawasan pedalaman (Sipitang).
Di Semenanjung Malaysia pula, situasi berkenaan dijangka melanda kawasan Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah di Kelantan; Dungun dan Kemaman di Terengganu; serta Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang.
Selain itu, kawasan terjejas di Negeri Sembilan ialah Kuala Pilah, Jempol dan Tampin, manakala di Melaka melibatkan Jasin, serta di Johor melibatkan Tangkak, Segamat, Muar dan Mersing.
Dalam masa yang sama, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang melibatkan Labuan dan beberapa kawasan di Sabah, berkuat kuasa esok hingga 5 November.
Kawasan yang terlibat di bawah amaran tersebut ialah Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) serta Kudat.
Orang ramai disarankan sentiasa peka terhadap maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.
Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 juga boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.
-Bernama