



BERLIN: Salji dan jalan licin akibat ribut musim sejuk di Jerman menyebabkan kemalangan serta gangguan perjalanan yang meragut sekurang-kurangnya empat nyawa dan mencederakan ramai lagi, lapor Xinhua.
Seramai tiga orang terbunuh dalam nahas melibatkan dua lori dan sebuah kereta di Bavaria, selatan Jerman, dengan pihak polis melaporkan keadaan jalan yang sangat licin.
Dua mangsa cedera parah dan beberapa lagi turut cedera.
Kematian keempat dilaporkan di negeri Baden-Württemberg di selatan Jerman, apabila seorang lelaki berusia 68 tahun terbabas di jalan yang diseliputi ais dan merempuh sebuah kenderaan lain. Pemandu kenderaan kedua dilaporkan cedera parah.
Di negeri Hesse di bahagian tengah negara itu, sembilan orang cedera apabila jalan licin dan salji yang turun sepanjang malam mengakibatkan puluhan kemalangan.
Polis melaporkan lebih 30 insiden berkaitan cuaca sejak malam Ahad hingga pagi Isnin.
Beberapa negeri turut melaporkan insiden berasingan serta gangguan terhadap trafik dan perkhidmatan kereta api.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Jerman, keadaan dijangka terus mencabar dengan cuaca beku dan ais di timur pada sebelah malam, serta salji berkemungkinan turun di kawasan Alps.- Bernama-Xinhua