SIBU: Ribuan pengunjung membanjiri Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2 untuk menyaksikan Ulangtahun Ke-10 ‘Sibu International Bike Week 2022’, malam tadi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah telah menyempurnakan majlis perasmian program itu.
Dalam ucapannya, Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, Sibu International Bike Week adalah ‘bikes festival’ yang terbesar di Sarawak.
“Kepada mereka yang datang berkunjung ke bandar Sibu untuk Sibu International Bike Week ini, harapan saya tuan-tuan dan puan-puan semua dapat menikmati keindahan yang terdapat di bandar ini dan juga apa yang boleh diperoleh di bandar Sibu ini.
“Kepada mereka ini selamat datang dan selamat kembali dengan selamat. Kepada pihak penganjur Razz Chopper saya mengucapkan syabas dan tahniah untuk ulang tahun ke-10 Sibu International Bike Week, dengan cukup baik sekali,” katanya.
Abdul Karim berkata, kementeriannya akan sentiasa bersama-sama untuk memastikan festival ini terus dibantu untuk tahun-tahun yang akan datang.
Beliau percaya penganjuran festival seperti ini banyak manfaat kepada mereka yang terlibat dalam keusahawanan jualan dan sebagainya.
“Sedikit sebanyak mereka akan turut sama meraih keuntungan jualan-jualan. Selain itu, mereka yang datang untuk bersama-sama malam ini akan dapat berhibur,” katanya.
Sibu International Bike Week 2022 turut disertai oleh peserta dari Brunei dan Indonesia.
Pada majlis itu, Razz Chopper turut menghulurkan sumbangan kepada Masjid An-Nur Sibu.
Turut hadir ialah Presiden Razz Chopper MC Abdul Razak Abdul Salam serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN