Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Ribuan rakyat Indonesia berprotes, tentera dikerah ke ibu kota
  • GLOBAL

Ribuan rakyat Indonesia berprotes, tentera dikerah ke ibu kota

Utusan Sarawak 3 days ago
PEMANDANGAN udara menunjukkan para penunjuk perasaan berkumpul ketika satu protes menuntut reformasi polis dan pembubaran parlimen, di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Aceh (DPRA) di Banda Aceh pada 1 September 2025. Foto AFP

JAKARTA: Ribuan rakyat Indonesia turun ke jalanan semalam, sementara pihak tentera telah dikerahkan ke ibu kota susulan kematian enam orang dalam siri protes besar-besaran yang tercetus akibat kemarahan terhadap faedah mewah yang diterima ahli parlimen.

Sekurang-kurangnya 500 penunjuk perasaan berhimpun di hadapan bangunan parlimen Indonesia di Jakarta, diawasi oleh anggota tentera dan polis sepanjang hari, sebelum bersurai selepas Presiden Prabowo Subianto memberi amaran bahawa protes harus dihentikan sebelum matahari terbenam.

ANGGOTA marin mengawal kedudukan di sepanjang jalan di luar kompleks parlimen di Jakarta pada 1 September 2025. Pihak berkuasa Indonesia meningkatkan kawalan keselamatan pada hari tersebut susulan enam kematian dalam kekacauan berkaitan kesusahan ekonomi yang mencetuskan kemarahan ganas terhadap pasukan polis negara. Foto AFP

Namun, protes di tempat lain lebih tegang. Di kota Gorontalo, Pulau Sulawesi, penunjuk perasaan bertempur dengan polis yang membalas menggunakan gas pemedih mata dan meriam air, menurut saksi AFP.

Di Bandung, Pulau Jawa, penunjuk perasaan membaling bom Molotov dan mercun ke arah bangunan dewan perwakilan wilayah.

Ribuan lagi berhimpun di Palembang, Sumatera, dan ratusan berkumpul secara berasingan di Banjarmasin (Kalimantan), Yogyakarta (Jawa), dan Makassar (Sulawesi), menurut wartawan AFP di lokasi.

“Matlamat utama kami adalah untuk reformasi parlimen,” kata penunjuk perasaan dan pelajar universiti Nafta Keisya Kemalia, 20 tahun, kepada AFP di luar parlimen sebelum protes bersurai.

“Adakah mereka mahu tunggu sehingga undang-undang tentera dikuatkuasakan?”

PBB gesa siasatan

Di Geneva, semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan terhadap dakwaan penggunaan kekuatan melampau oleh pasukan keselamatan Indonesia semasa protes.

“Kami mengikuti rapat rentetan keganasan yang berlaku di Indonesia dalam konteks protes seluruh negara berkaitan elaun parlimen, langkah penjimatan, dan dakwaan kekerasan yang tidak wajar oleh pasukan keselamatan,” kata jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani.

“Kami menekankan kepentingan dialog untuk menangani kebimbangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

ANGGOTA Tentera Nasional Indonesia (TNI) dilihat menunggu arahan untuk mengawal ketenteraman awam menjelang protes susulan di Dataran Merdeka, Jakarta, pada 1 September 2025. Pihak berkuasa Indonesia meningkatkan kawalan keselamatan pada hari tersebut selepas enam terbunuh dalam rusuhan akibat kesempitan hidup, yang kemudian berubah menjadi kemarahan ganas terhadap pasukan polis negara. Foto AFP

Pusingan-U oleh kerajaan

Protes berdarah ini yang merupakan rusuhan terburuk sejak Prabowo mengambil alih kuasa kurang setahun lalu bermula minggu lepas selepas pendedahan bahawa elaun perumahan ahli parlimen hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta.

Tekanan awam menyebabkan presiden dan pimpinan parlimen membatalkan beberapa faedah tersebut.

Protes yang pada awalnya aman menjadi ganas apabila rakaman menunjukkan anggota unit elit polis memandu van yang melanggar mati seorang penghantar makanan, Affan Kurniawan, 21 tahun, pada lewat malam Khamis.

Polis mendirikan sekatan jalan raya di seluruh Jakarta pada Isnin, manakala tentera dan polis menjalankan rondaan dan menempatkan penembak tepat di beberapa lokasi strategik. Jalan-jalan yang biasanya sesak kelihatan lebih tenang dari biasa.

Sekolah dan universiti di Jakarta mengadakan kelas secara dalam talian sehingga sekurang-kurangnya hari Selasa, dan kakitangan awam diminta bekerja dari rumah.

Prabowo kritik protes, pasaran jatuh

Semalam, Presiden Prabowo mengkritik penunjuk perasaan ketika melawat anggota polis yang cedera di hospital.

“Undang-undang menyatakan bahawa jika anda mahu berdemonstrasi, anda perlu minta kebenaran, dan ia mesti tamat sebelum 6.00 petang,” katanya.

Penganalisis menyatakan bahawa tindakan kerajaan membatalkan elaun dan ucapan Presiden Prabowo pada Ahad mungkin tidak mencukupi untuk meredakan kemarahan rakyat.

“Kerajaan Indonesia memang kelam-kabut. Kabinet dan parlimen tidak pernah dengar rintihan rakyat,” kata Suwardi, 60 tahun, penjual makanan ringan di luar parlimen.
“Kami sentiasa dibohongi.”

Indeks saham Indonesia jatuh lebih 3 peratus semasa pembukaan dagangan pada Isnin, sebelum pulih sedikit dan menutup dagangan dengan penurunan 1.2 peratus.

Pegawai polis mungkin dipecat

Semalam, Ketua Biro Akauntabiliti Polis Kebangsaan, Agus Wijayanto, berkata siasatan mendapati dua anggota polis pemandu van dan rakannya telah melakukan kesalahan jenayah.

“Mereka mungkin akan dikenakan tindakan buang kerja secara tidak hormat,” katanya.

Krisis ini juga memaksa Prabowo membatalkan lawatannya ke China minggu ini untuk menghadiri perarakan tentera sempena ulang tahun tamat Perang Dunia Kedua.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, rumah Menteri Kewangan telah diceroboh, dan beberapa ahli parlimen dilaporkan menjadi mangsa rompakan.

Sekurang-kurangnya tiga maut dalam kebakaran di bangunan dewan bandar raya Makassar yang dicetuskan oleh penunjuk perasaan pada Jumaat, manakala seorang lagi dibunuh oleh orang ramai akibat salah sangka. Seorang pelajar universiti di Yogyakarta juga disahkan maut dalam pertempuran.

Sebagai langkah berjaga-jaga, TikTok menggantung fungsi siaran langsung di Indonesia sejak Sabtu selama “beberapa hari”, yang mana platform itu mempunyai lebih 100 juta pengguna di negara tersebut. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: 20 orang dilapor hilang selepas protes di Jakarta
Next: Langkah kawalan sedang diambil, rakyat Malaysia di Indonesia diminta berwaspada – Duta Besar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.