
SIBU: Dataran Tun Tuanku Bujang bertukar gamat apabila ribuan pengunjung membanjiri Pentas Utama bagi menyaksikan Konsert Rakyat sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu, malam tadi.
Konsert dimulakan dengan persembahan Yadee dan Dayangku Fadzilah sebelum diteruskan oleh Chien Ng, Bob Yusuf, Melissa Francis, Iwan Dasri dan Jat Ali yang menghiburkan penonton menerusi rangkaian lagu popular serta lagu-lagu malar segar.
Sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton mengiringi setiap persembahan, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan suasana di tapak Program Sarawakku Sayang.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) yang juga Pengerusi Jawatankuasa SKS Peringkat Bahagian Sibu, Sarikei, Mukah dan Betong, Datu Hii Chang Kee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek dan Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said.
Konsert Rakyat merupakan antara pengisian Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Sibu yang bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan dan mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat menerusi pendekatan santai dan mesra komuniti.
Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Sibu diteruskan hari ini dengan pelbagai lagi aktiviti dan pengisian sebelum melabuhkan tirainya.
Oleh Tarani Lanting