SANDAKAN: Ribuan kursus dan program peningkatan kemahiran ditawarkan secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira had umur sempena Minggu Latihan Kebangsaan (National Training Week, NTW) 2026 yang bermula esok.
Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa program yang dianjurkan bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu bertujuan memperkasa pembelajaran sepanjang hayat. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.nationaltrainingweek.gov.my.
Majlis pelancaran program membawa tema ‘Pelajari, Alami, Kuasai’ itu disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan di Dewan Masyarakat Sandakan di sini, semalam.
“NTW bukan sekadar program tahunan tetapi satu gerakan nasional untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika merasmikan program itu.
Khairul Firdaus berkata, pemilihan Sandakan bagi mengiktiraf peranan penting Sabah dalam agenda modal insan negara, dengan peluang latihan dibuka luas untuk golongan pekerja, usahawan, pekerja gig, suri rumah, serta pesara.
Antara kursus kontemporari yang ditawarkan ialah pemasaran digital, seni animasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), penulisan arahan AI (AI prompting), pengendalian dron, sokongan kepada individu autisme, pelbagai kursus bahasa serta penyelenggaraan kenderaan.
Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp Datuk Rusli Jaafar dalam kenyataan sama menjelaskan, gandingan erat bersama pihak industri dan institusi latihan membolehkan akses pembelajaran percuma itu direalisasikan secara inklusif.
Kempen edisi keempat itu turut diserikan dengan penyampaian insentif khas kepada 149 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Parlimen Batu Sapi sebagai galakan meningkatkan kemahiran akademik dan kerjaya.
Selain itu, pengunjung karnival berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti sesi perkongsian ilmu, khidmat nasihat pembangunan kerjaya, serta pameran daripada pelbagai agensi latihan.
Seterusnya, jelajah NTW 2026 akan digerakkan ke seluruh negara sebelum acara kemuncak berlangsung di Pulau Pinang pada 25 dan 26 Julai.
Semakan di portal itu mendapati orang ramai boleh menyertai kursus disediakan sama ada secara dalam talian atau di institusi terpilih berdasarkan kesesuaian kursus masing-masing. – Bernama



