
SIBU: Perarakan Krismas 2025 yang bakal berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang pada Sabtu ini dijangka menghimpunkan ribuan peserta daripada pelbagai denominasi gereja, sekali gus memperkukuhkan perpaduan komuniti Kristian di bandar ini.
Pengerusi penganjur, Reverend Monsignor Michael Lee Hock Chai berkata, acara anjuran Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) Cawangan Sibu itu bertemakan ‘Jesus, Our Blessed Hope’ (Titus 2:13).
“Pada tahun ini, Gereja Katolik menjadi tuan rumah bagi perarakan tersebut. Acara akan bermula dari 6.00 petang hingga 10.00 malam,” jelasnya pada sidang media, hari ini.
Antara gereja di bawah ACS yang menyertai perarakan termasuk Gereja Anglikan, Borneo Evangelical Mission (BEM), Gereja Katolik serta Gereja Methodist (Sarawak Chinese Annual Conference dan Sarawak Iban Annual Conference).
Turut serta memeriahkan acara ialah YMCA dan beberapa gereja bebas lain, mencerminkan semangat kesatuan masyarakat Kristian tempatan.
Empat kumpulan pancaragam akan membuat persembahan iaitu Pancaragam Sekolah Tinggi Katolik, Pasukan Bagpipe Sacred Heart, Pancaragam Sekolah Tung Hua dan Pancaragam Boys’ Brigade. Selain itu, persembahan pentas melibatkan 300 ahli Gereja Katolik turut diadakan sepanjang acara.
Perarakan akan bermula di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 dan melalui laluan Jalan Bujang Suntong, Jalan Pulau, Jalan Channel, Jalan Mission, Jalan Kampung Nyabor, Raminway, Jalan Morshidi Sidek, Jalan Sanyan sebelum kembali ke dataran dan berakhir di sepanjang Jalan Kampung Nyabor.
Tradisi tahunan anjuran ACS ini bukan sahaja menjadi acara keagamaan, tetapi juga wadah memupuk kebersamaan serta keharmonian masyarakat setempat.
Orang ramai dijemput hadir bagi meraikan perayaan penuh makna ini dalam suasana kegembiraan, muzik dan persekutuan.
Hadir sama Setiausaha ACS Cawangan Sibu, Eta Ting.
Oleh Akun Giman