
TAIPEI: Sekitar 5,000 wakil daripada lebih 100 kesatuan sekerja di Taiwan berhimpun di Taipei hari ini sempena Hari Pekerja Antarabangsa, menuntut syarat pekerjaan yang lebih baik, kenaikan gaji, waktu kerja lebih singkat serta penambahbaikan pencen.
Sambil membawa sepanduk bertulis “Hentikan Buli! Lindungi Pekerja!” dan melaungkan bantahan terhadap gaji rendah, para penunjuk perasaan berarak selama beberapa jam, mendesak pembaharuan undang-undang buruh, lapor agensi berita Jerman dpa.
Presiden Konfederasi Kesatuan Sekerja Taiwan Tai Kuo-jung mengkritik kerajaan kerana gagal memberi respons yang mencukupi terhadap keperluan pekerja dan menggesa agar gaji minimum dinaikkan kepada 32,000 dolar Taiwan (AS$998) sebulan berbanding kadar semasa iaitu 28,590 dolar.
“Apabila kerajaan tidak memberi respons terhadap tuntutan kami, itu bermakna kerajaan membuli pekerja,” kata Tai kepada wartawan di luar perarakan itu.
“Kami berharap dapat terus menekan kerajaan agar mewujudkan persekitaran kerja yang lebih mesra pekerja, demi masa depan lebih cerah untuk generasi muda,” katanya.
Para penunjuk perasaan kemudiannya berkumpul di dataran luar Pejabat Presiden, menuntut penambahbaikan syarat kerja dalam agensi kerajaan dan sektor kesihatan.
Pada 2024, insiden bunuh diri seorang kakitangan Kementerian Buruh akibat tekanan melampau dan buli di tempat kerja mengejutkan negara dan mendedahkan masalah serupa di tempat lain.
Perdana Menteri Chuo Jung-tai hari ini berkata undang-undang berkaitan buli di tempat kerja akan diperketat dan hukuman akan ditingkatkan.
- Bernama