KUCHING: Hujan lebat tidak memadamkan semarak kemeriahan sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 di Tebingan Kuching malam tadi, apabila ribuan pengunjung membanjiri lokasi ikonik itu untuk menyaksikan persembahan memukau penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang.
Acara gilang-gemilang yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bersama Majlis Seni Sarawak (MSS) itu menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung dari seluruh negeri.
Sambutan meriah ini dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan pelbagai aktiviti yang menggamit kehadiran ramai, termasuk Senamrobik Kenyalang, pameran seni visual yang mengetengahkan bakat tempatan, serta persembahan Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) Junior yang berjaya memukau para pengunjung.
Suasana semakin rancak pada sebelah malam dengan segmen pra-persembahan yang bermula jam 8.00 malam.
Artis tempatan seperti Harris Mukhriz, Isz Arfan, Harry Parren Ngau, Darren Jadriel Valentine, Norafizah Buseman, Ng Chien Chien, Roxy Ixzy, Aleysha, Ryan Zachary Van Der Horst, dan Siti Hasmah tampil memikat hati penonton dengan rangkaian lagu popular mereka.
Sekitar jam 9.55 malam, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tiba bersama isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, untuk menyertai ribuan pengunjung meraikan detik istimewa ini.
Tidak lama selepas itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, turut tiba bagi memeriahkan lagi suasana.
Persembahan band Excrozim dan sketsa komedi oleh Lan Perey serta Ashweein Narayanan menambah gelak tawa penonton sebelum acara rasmi bermula tepat jam 10.00 malam.
Segmen rasmi dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Permata Seni MSS, diikuti tarian memukau oleh I-Cats Performing Arts, Youngstersz, dan Kinate Dance Group, yang mencuri perhatian dengan koreografi mantap dan kostum berwarna-warni.
Namun, kemuncak acara sudah tentunya penampilan Hetty Koes Endang.
Dengan suaranya yang merdu, beliau menyanyikan lagu-lagu malar segar yang menggamit memori, sekali gus memukau ribuan penonton.
Penampilan khas penyanyi Malaysia, Zee Avi, turut memeriahkan lagi pentas.
Tepat jam 12 tengah malam, detik tahun baharu disambut dengan sorakan gemuruh dan pertunjukan bunga api yang menerangi langit Kuching, mencipta momen penuh magis.
Sambutan diteruskan dengan persembahan pasca-acara oleh Akim & The Majistret serta beberapa band tempatan, membuatkan pengunjung terus terhibur hingga lewat malam.
Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 ini bukan sekadar meraikan kedatangan tahun baharu, tetapi juga menjadi pentas untuk menonjolkan bakat tempatan dan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat
Oleh SHAHRUL QAIZAT