KUALA LUMPUR: Ribuan anak-anak Sarawak di Semenanjung membanjiri program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, program edisi ke-15 ini menjadi acara yang dinantikan oleh anak-anak Sarawak di Semenanjung termasuk pelajar, keluarga, pekerja dan usahawan.
Katanya, program bertemakan ‘Memperkasa Ekonomi Baru Sarawak’ ini menampilkan peningkatan ketara dalam penyertaan pameran sekali gus mencerminkan minat yang semakin tinggi terhadap pembangunan ekonomi negeri.
“Tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan dalam pameran, dengan pelbagai pempamer dari sektor yang berbeza, termasuk agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, serta pemain industri.
“Selain itu, pelbagai program turut diadakan termasuk ceramah kerjaya, sesi temuduga, tawaran pekerjaan, dan lain-lain aktiviti yang telah dirancang.
“Program yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri ini turut menampilkan Sesi Townhall bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang pastinya dinantikan oleh pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program tersebut di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Dato Sri Aaron Ago Dagang; Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dijadualkan menghadiri Sesi Townhall ‘Sarawak Agenda Bersama Premier Sarawak,’ yang akan dikendalikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni, sebagai moderator pada 3 petang nanti.
Pada sebelah malamnya, Majlis Makan Malam Anak Sarawak akan dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Untuk rekod, Lan Berambeh Anak Sarawak merupakan acara tahunan Sarawak Volunteers (sebelum ini dikelolakan oleh Persatuan Anak Sarawak Semenanjung) sejak 2008.
Program ini menjadi satu wadah bagi anak-anak Sarawak bertemu dengan pimpinan utama kerajaan Sarawak dan berpeluang untuk mengetahui dasar dan inisiatif kerajaan dalam
usaha membangunkan dan memajukan Sarawak.
Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada pelajar Sarawak di Semenanjung untuk berkumpul bagi meraikan budaya dan tradisi Sarawak di samping berpeluang untuk
menyampaikan idea serta hasrat kepada Premier Sarawak melalui sesi Townhall.
Oleh Mohd Neenatul Aizal