Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Ribbon Ooi utamakan keluarga sempena Tahun Baharu Cina
  • HIBURAN

Ribbon Ooi utamakan keluarga sempena Tahun Baharu Cina

Utusan Sarawak 6 hours ago
PENYANYI, Ribbon Ooi pada majlis tayangan video muzik Tahun Baharu Cina oleh R Pharmacy di TRX baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Di sebalik jadual seni yang padat, penyanyi dan pelakon Ribbon Ooi tetap mengutamakan keluarga setiap kali Tahun Baharu Cina menjelang tiba.

Bakal bercuti selama 10 hari, pelantun lagu Wooden Horse itu akan kembali ke kampung halamannya di Butterworth, Pulau Pinang untuk meluangkan masa bersama-sama dengan kedua-dua orang tuanya yang semakin uzur.

“Bagi saya, Tahun Baharu Cina merupakan detik penting untuk berkumpul bersama-sama keluarga. Biasanya kita sibuk bekerja setiap hari, jadi inilah masanya untuk balik rumah.

“Meluangkan masa berkualiti dengan mereka adalah antara momen paling bermakna walaupun dalam suasana sederhana,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran video muzik Tahun Baharu Cina pertama R Pharmacy di sini, baru-baru ini.

Meraikannya bersama-sama dengan ibu bapa dan adik lelakinya, Ooi, 30, berkata sambutan di rumahnya tidak lagi semeriah dahulu memandangkan keadaan kesihatan orang tuanya yang kurang mengizinkan.

“Ibu bapa saya sudah uzur dan mempunyai masalah kesihatan. Saya pula kurang minat memasak, jadi setiap kali jamuan makan besar kami hanya membuat tempahan di restoran. Itu lebih senang dan tidak membebankan mereka,” katanya.

Beliau turut berharap kesihatannya berada pada tahap lebih baik tahun ini selepas pernah berdepan masalah kesihatan yang menjejaskan rutin kerjayanya sebelum ini.

Menyentuh kerjayanya, Ooi yang sering digelar “Seven-Language Voice”, terlibat dalam video muzik Tahun Baharu Cina pertama R Pharmacy bersama-sama Fuying, Sam CN, Bell Yu dan Daniel Cheah yang membawa mesej “health is wealth” secara kreatif dan santai.

“Lagu ini bukan sekadar lagu perayaan, tetapi kami mahu sampaikan mesej bahawa kesihatan itu sangat penting. Bila sihat, barulah kita boleh bekerja dan luangkan masa dengan keluarga,” katanya.

Ooi juga menyasarkan untuk melancarkan sekurang-kurangnya empat single baharu tahun ini dalam pelbagai bahasa termasuk Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Selain itu, beliau berharap dapat terlibat dalam projek filem baharu memandangkan format tersebut lebih fleksibel berbanding drama bersiri yang memerlukan tempoh penggambaran lebih panjang.

“Saya mahu mencabar diri membawakan watak antagonis. Ramai nampak saya sebagai watak baik, jadi tak ramai tawarkan watak jahat. Tapi saya memang mahu cuba,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Nia Ramadhani nafi dakwaan bakal bercerai, minta henti sebar fitnah
Next: Kerajaan Metropolitan Seoul lulus tajaan rasmi untuk konsert BTS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.