
GEORGE TOWN: RHB Banking Group menerusi anak syarikatnya, RHB Islamic Bank Bhd (RHB Islamic) melancarkan inisiatif RHB MyTVETKPM, kad pintar pelbagai guna untuk pelajar institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Pengarah Urusan RHB Islamic Datuk Adissadikin Ali berkata inisiatif yang dilancarkan semalam itu adalah kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang akan memberi manfaat kepada 74,000 pelajar di 86 kolej vokasional dan sembilan sekolah teknik di seluruh negara.
Beliau berkata kad tersebut mempunyai dua fungsi, iaitu sebagai kad pengenalan matrikulasi pelajar dan kad debit RHB.
“Pelancaran MyTVETKPM memperkukuh penjajaran RHB Islamic dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk memartabatkan sektor TVET.
“Memandangkan TVET menjadi tonggak penting dalam jabatan perindustrian dan perkhidmatan Malaysia, RHB berbangga menyumbang dengan mewujudkan penyelesaian kewangan praktikal dan mesra pelajar yang menyokong usaha pembangunan bakat yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Adissadikin berkata inisiatif MyTVETKPM itu dilancarkan berdasarkan kejayaan MySISWA, penyelesaian perbankan pelajar serupa yang dilancarkan pada 2022, yang menjangkau lebih 600,000 pelajar daripada 20 universiti awam.
Sebagai sebahagian daripada proses penerimaan, beliau berkata pelajar yang mengambil bahagian akan membuka Akaun Simpanan-i RHB Pro, membolehkan pengalaman “satu kad untuk semua” yang komprehensif dengan membenarkan mereka mengurus dana, membuat pembayaran tanpa tunai dan mengakses promosi dan diskaun eksklusif.
“Faedah ini meliputi pelbagai vendor yang mengambil bahagian dan rakan kongsi perniagaan RHB, termasuk mereka dalam sektor makanan dan minuman, pengangkutan, pendidikan, produk dan perkhidmatan berkaitan gaya hidup, serta telekomunikasi dan pakej data,” katanya.
Perjanjian kerjasama yang menyokong inisiatif ini dimeterai pada 2024 antara RHB Islamic dan Yayasan Didik Negara, badan penyelaras sumbangan dan bantuan di bawah KPM.
Projek perintis bermula pada 29 April dengan 151 pelajar Kolej Vokasional Nibong Tebal mengaktifkan kad MyTVETKPM mereka, manakala semalam 391 lagi pelajar dari institusi yang sama telah mengaktifkan kad mereka.– Bernama