NIAH: Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.71 Bekenu hantar bekalan makanan kepada penduduk Rumah (Rh) Danggang Tubai Kelatop, Saeh yang dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan pada 8 Mac lepas.
Pegawai Pusat Khidmat, Kaunselor Sulaiman Ahmad ketika ditemui di simpang Rumah Danggang Selasa lepas berkata, bantuan itu disebabkan penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan mereka dan bekalan makanan tersebut sebagai bantuan awal kepada penduduk.
“Bantuan itu merupa sumbangan daripada Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Bekenu) Datuk Rosey Yunus.
“Sebanyak 39 pintu rumah di Rumah Danggang telah diagihkan bantuan bekalan makanan dan dianggarkan sejumlah lebih 70 penduduk di situ,” jelasnya.
Sementara itu, kelmarin Datuk Rosey Yunus telah mengeluarkan kenyataan media di Utusan Sarawak menasihati penduduk di kawasan Saeh agar bertenang dan patuhi SOP Kementerian Kesehatan Malaysia (KKM) dalam usaha putuskan rantaian Covid-19.
Selain itu, beliau juga mohon penduduk kurangkan pergerakan buat seketika waktu untuk keselamatan diri dan orang ramai di Daerah Subis.
Utusan Sarawak turut difahamkan bahawa terdapat beberapa keluarga dari Rumah Danggang telah dikenakan kuarantin di Miri oleh pihak KKM demi menggelak penularan wabak Covid-19 di Saeh.
Setakat tengah hari Selasa lepas, masih dua buah lagi rumah panjang di Zon Saeh dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan iaitu Rumah Bulin dan Rumah Danggang.
Oleh ADUM LIU