Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • RFP 2025 kembali: Kuching, Miri dan Sibu dipilih sebagai lokasi larian
  • SUKAN

RFP 2025 kembali: Kuching, Miri dan Sibu dipilih sebagai lokasi larian

Utusan Sarawak 6 hours ago
SEKITAR larian Larian Untuk Keamanan pada 2023.

SIBU: Acara dwi-tahunan Larian Untuk Keamanan 2025 (RFP 2025) anjuran Soka Gakkai Malaysia (SGM) bakal kembali ke Sarawak pada September ini, dengan penganjuran di tiga lokasi utama iaitu Kuching, Miri dan Sibu.

Menurut kenyataan SGM hari ini, larian yang bersifat inklusif dan tidak berorientasikan pertandingan itu akan membuka tirai di Kuching pada 7 September, melibatkan laluan sejauh lima kilometer bermula dari pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Sementara itu, Miri dan Sibu akan menganjurkan acara secara serentak pada 14 September, masing-masing melibatkan laluan sejauh 5.3 kilometer dari Dewan Bandaraya Miri dan 5.5 kilometer bermula di Stadium Tun Zaidi, Sibu.

Menampilkan tema ‘Keamanan Bermula Dengan Saya – ActNOW for SDGs!’, RFP 2025 bertujuan memupuk budaya keamanan, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kesedaran terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Acara ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat berumur antara tujuh hingga 80 tahun tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama, sama ada sebagai pelari, pejalan kaki, sukarelawan mahupun penyokong,” kata kenyataan itu.

SGM memaklumkan, bagi menyokong inisiatif kelestarian, peserta digalakkan menggunakan semula baju-T edisi 2023 menerusi Inisiatif Baju-T Mampan, manakala baju baharu akan menggunakan bahan disahkan di bawah Standard Kitar Semula Global (GRS). Sebagai langkah meminimumkan kesan alam sekitar, tiada pingat akan diberikan pada tahun ini.

“Ganjaran sebenar adalah sumbangan anda kepada keamanan,” jelas penganjur.

Peserta juga digalakkan membawa botol air dan beg guna semula masing-masing, di samping kemudahan stesen kitar semula yang akan disediakan di semua lokasi penganjuran.

Menjelang acara utama, beberapa program komuniti akan dianjurkan seperti kempen gotong-royong, derma darah, bengkel kitar semula, Hari SDG serta pameran bertemakan keamanan.

Sejak diperkenalkan pada 2005, RFP telah menarik penyertaan lebih 400,000 peserta di seluruh negara, menjadikannya antara gerakan akar umbi terbesar mempromosi keamanan di Malaysia.

“Tiada apa yang lebih berharga daripada keamanan. Tiada yang membawa lebih kebahagiaan,” kata pengasas Soka Gakkai International (SGI), Dr Daisaku Ikeda yang menjadi inspirasi kepada gerakan ini.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar sebelum 30 Jun menerusi laman sesawang rasmi www.runforpeace.com.my, atau mengikuti maklumat lanjut di media sosial rasmi Run for Peace di Facebook dan Instagram.

Oleh Tarani Lanting

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: PSG dikejutkan kelab Brazil pada Piala Dunia Kelab
Next: Semangat juang Messi pada usia 37 tahun mengagumkan – Mascherano

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.