Retreat Kumpulan Sokongan NREB perkukuh semangat 1NREB

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 134 pegawai kumpulan sokongan NREB dari seluruh Sarawak menyertai Retreat Kumpulan Sokongan NREB 2026 bagi memperkukuh semangat kerja berpasukan dan hala tuju organisasi. Foto NREB

SIBU: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak berjaya menganjurkan Retreat Kumpulan Sokongan NREB 2026 edisi kedua yang menghimpunkan 134 pegawai kumpulan sokongan dari ibu pejabat dan pejabat bahagian di seluruh negeri.

Program yang berlangsung dari 30 Julai hingga 2 Ogos itu mengangkat tema ‘Semak Semula, Fikir Semula dan Segarkan Semangat’ (Revisit, Rethink and Recharge) sebagai platform strategik untuk memperkukuh pemahaman peserta terhadap visi, misi dan hala tuju organisasi, di samping meningkatkan semangat kerja berpasukan, penyelarasan organisasi serta semangat 1NREB.

Retreat tersebut telah dirasmikan Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam yang mengalu-alukan penyertaan pegawai baharu serta peserta yang pertama kali menghadiri program berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan peranan penting pegawai kumpulan sokongan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dan operasi NREB dilaksanakan secara berkesan.

RETREAT Kumpulan Sokongan NREB 2026 menjadi platform memperkasa kerjasama, komunikasi dan komitmen warga kerja dalam menghadapi cabaran pengurusan alam sekitar. Foto NREB

Menurutnya, tema retreat itu menggalakkan warga kerja menilai semula pencapaian organisasi, memikirkan pendekatan baharu terhadap strategi, proses kerja dan budaya organisasi serta memperbaharui komitmen bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan.

“Nilai semula apa yang telah kita capai, fikirkan bagaimana kita boleh menjadi lebih baik dan perbaharui semangat untuk bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya terus menghayati nilai teras Perkhidmatan Awam Sarawak, termasuk integriti, profesionalisme, semangat kekitaan, kerja berpasukan, rasa tanggungjawab serta memberi tumpuan kepada penyampaian hasil

Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai pembentangan mengenai hala tuju strategik NREB, fungsi operasi dan pengurusan, pemantauan serta penguatkuasaan alam sekitar, pendidikan dan kesedaran alam sekitar, prosedur pentadbiran, inisiatif kualiti organisasi serta persediaan pemindahan fungsi alam sekitar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

WARGA NREB bergambar kenangan selepas selesai Retreat Kumpulan Sokongan NREB 2026 yang bertujuan memperkukuh semangat 1NREB dan penyampaian perkhidmatan organisasi. Foto NREB

Program itu turut diserikan dengan ceramah motivasi, pembentangan resolusi retreat serta sesi dialog terbuka yang dipengerusikan Datu Jack bagi memberi ruang kepada peserta mengemukakan pandangan, mendapatkan penjelasan serta berkongsi cadangan untuk memperkukuh keberkesanan organisasi dan penyampaian perkhidmatan.

Pada majlis penutupan, beliau menggesa semua pegawai supaya terus fokus, memperkukuh komitmen dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada organisasi ketika NREB bersedia memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam pengurusan serta tadbir urus alam sekitar.

Agong terima menghadap Premier Sarawak

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.