SIBU: Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) hari ini menyerahkan sumbangan kewangan kepada keluarga mendiang Koperal Chiu Teck Siong yang meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik dalam satu kejadian di Beaufort, Sabah baru-baru ini.
Sumbangan itu diserahkan kepada balu mendiang, Tang Wei Wei, 39, di kediamannya hari ini.
Menurut Setiausaha Kehormat RESPA, Datuk Abdul Wahab Harun, sumbangan tersebut bertujuan membantu meringankan beban keluarga dalam meneruskan kehidupan ketika melalui waktu sukar.
“Kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan membantu meringankan beban keluarga,” ujarnya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada Tang.
Turut bersama Abdul Wahab dari RESPA yang datang khas dari Kuala Lumpur bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan itu ialah Dr Saadiah Kadir dan Hanison Buyong, Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Balamurugan Govindan dan Inspektor Ting Yew Kang.
Dalam kejadian pada 6 Ogos lepas, Teck Siong, 40, antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk memetik kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort.
Dua lagi anggota yang turut terkorban dalam tragedi berkenaan ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26.
Mendiang Chiu meninggalkan lima anak perempuan yang masih kecil berusia antara empat hingga 11 tahun.
Oleh Akun Giman





