KUALA LUMPUR: Tiga resolusi strategik diusulkan pada Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 bagi memperkukuh ekosistem wakaf yang lebih moden, mampan dan berimpak tinggi, sekali gus meletakkan institusi wakaf sebagai pemacu pembangunan ekonomi, inovasi serta kesejahteraan ummah pada masa depan.
Resolusi tersebut diusulkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyempurnakan majlis perasmian penutup konvensyen berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Resolusi pertama mencadangkan penubuhan Working Consultancy Group bagi menyemak serta meneroka pendekatan baharu yang mampu menambah nilai kepada struktur pengurusan wakaf supaya lebih tersusun, cekap dan berkesan.
Resolusi kedua pula menggesa pemanfaatan teknologi secara menyeluruh menerusi platform digital yang dapat menghubungkan dana, kepakaran, inovasi serta jaringan kerjasama bagi memperluaskan manfaat dakwah merentasi sempadan negara.
Sementara itu, resolusi ketiga menekankan usaha bersepadu untuk memperkasa keseluruhan ekosistem wakaf meliputi aspek tadbir urus, pendigitalan, pembangunan modal insan, pelaburan patuh syariah, inovasi serta kerjasama strategik antara kerajaan, institusi agama, sektor korporat, akademia dan masyarakat.
Abang Johari berkata, ketiga-tiga resolusi itu bukan sekadar senarai cadangan, sebaliknya mencerminkan aspirasi untuk membina masa depan institusi wakaf yang lebih progresif.
“Ketiga-tiga resolusi ini bukan sekadar senarai cadangan. Ia adalah gambaran tentang masa depan yang ingin kita bina bersama.
“Ini masa depan yang menyaksikan wakaf tidak lagi hanya dilihat sebagai amalan kebajikan, tetapi sebagai pemacu ekonomi, pemangkin inovasi, penyelesai masalah sosial dan penggerak pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata, dokumen resolusi berkenaan tidak harus dilihat sebagai penamat kepada konvensyen, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada satu gerakan nasional untuk membina ekosistem wakaf yang lebih moden dan berdaya saing.
“Kami tidak melihat dokumen ini sebagai noktah kepada sebuah konvensyen, tetapi sebagai titik permulaan kepada satu gerakan nasional.
“Besar harapan kami agar segala syor yang dikemukakan dapat dipertimbangkan dan diperhalusi bersama oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Negeri, institusi wakaf, sektor korporat dan semua pemegang taruh demi membina sebuah ekosistem wakaf yang lebih moden, mampan dan berimpak tinggi,” katanya.





